.jpg)
DUNIA Islam mengutuk tindakan lelaki warga Iraq Salwan Monika yang menetap di Sweden membakar al-Quran, selain memberi amaran ia ‘membangkitkan’ perasaan marah umat Islam di seluruh dunia.
Ini adalah kejadian kedua selepas seorang pelampau sayap kanan Sweden-Denmark membakar al-Quran berhampiran Kedutaan Turkiye di Stockholm yang turut mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, pada Januari lalu.
Malah ia dilakukan di saat umat Islam sedang menyambut ketibaan Aidiladha yang bukan sekadar penyembelihan lembu, kerbau dan kambing tetapi umat Islam harus mengorbankan diri dalam membela agama mereka terhadap kumpulan manusia yang berani membakar kitab suci al-Quran.
Jika Nabi Ismail A.S mengorbankan dirinya untuk disembelih kerana menurut perintah Allah apakah sanggup penulis sendiri dan umat Islam mengorban masa, kekayaan, harta benda demi Allah dan agama?
Itulah simbolik kepada pembakaran al-Quran pada Hari Raya Korban. Sejauh manakah pergorbanan umat terhadap Islam yang dihina sehingga membakar kitab suci kita? Betapa lemahnya umat Islam sekarang.
Siri demonstrasi membakar al-Quran sudah beberapa kali diadakan di Sweden sebelum ini.
Antara yang lantang dengan kebiadaban itu termasuk ahli politik berhaluan kanan Rasmus Paludan.
Dunia Islam dan Malaysia mengutuk sehabis kerasnya dan tidak tahu sejauh manakah sekeras itu lagi dalam tindakan yang dapat dilakukan selepas ini jika perkara sama berulang lagi.
Keputusan pihak berkuasa Sweden membenarkan tindakan provokatif membakar kitab suci al-Quran pada 28 Jun 2023 di Stockholm ini menunjukkan Sweden sudah tidak menghormati agama Islam dan mahupun umatnya, apatah lagi negara Islam. Ini kerana kita tidak akan dapat apa-apa pun.
Adakah situasi ini membuatkan Turkiye akan mengekalkan keputusan untuk tidak membenarkan Sweden menganggotai NATO? Dengan pengekalan jawatan presiden selepas memenangi pilihan raya, Recep Tayyip Erdogan tentu akan mengekalkan syarat supaya Sweden tidak bekerja sama dengan Parti Pekerja Kurdish yang disenaraikan oleh Turkiye dan AS juga sebagai pertubuhan pengganas.
Apabila regim pengganas Israel membunuh penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza, dunia Islam juga mengutuk sekeras-keras. Kutukan demi kutukan yang dilempar dalam mod sekeras-kerasnya juga tetapi masih tiada tindakan yang sekurang-kurangnya dapat menahan atau mengekang atau menangguh sekalipun regim haram Israel daripada terus menjajah, mengusir dan membunuh penduduk Palestin di Tebing Barat, Baitul Maqdis dan Gaza.
Ini situasi dan fenomena dunia Islam sekarang, mereka adalah majoriti yang diam!
Ia umpama penonton di gelanggang sukan menonton perlawanan dengan sorakan bersemangat di stadium atau di kedai kopi tetapi selepas tamat perlawanan penonton kembali normal, diam di lokasi dan rumah masing-masing.
Mereka hanya bersemangat dengan gegak gempita, sorak pekik ketika perlawanan berlangsung lepas itu senyap dan sepi. Dunia Islam ibarat gelanggang sukan mengutuk sekeras-keras semasa isu baru berlaku atau tengah berlaku tetapi kembali diam selepas isu tamat dan segala cadangan tindakan susulan pun berhenti.
Setiap kali isu-isu sensitif berlaku yang melibatkan negara Islam, penduduk dan agama, perkara yang sama akan berlaku seperti mengkritik dan mengutuk, mengadakan demonstrasi, menghantar nota bantahan ke kedutaan atau memanggil duta untuk memaklumkan mengenai pendirian sesebuah seebuah negara Islam berhubung dengan isu menjejaskan martabat Islam, Islam dihina atau penduduk Islam dizalimi dan dibunuh seperti Palestin atau Khasmir.
Dunia Islam dan umatnya memang perlu mengambil sikap sedemikian namun hakikatnya kita adalah majoriti yang diam.
Ini kerana dunia Islam berada dalam situasi kebergantungan kepada dunia barat dalam hampir segenap aspek. Pergantungan kepada negara maju atau barat menyebabkan mereka tidak berani membantah sebarang tindakan yang tidak betul oleh negara barat seperti Sweden dan tindakan berterusan regim haram Israel umpamanya.
Oleh kerana negara barat seperti kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) yang menyokong, mendukung dan mendanai Israel maka ia menyebabkan negara Islam takut kalau mereka kecam Israel, negara barat akan ambil tindakan ke atas mereka.
Di samping itu kesatuan umat Islam memang lemah, Organisasi Negara Islam atau OIC sudah mempunyai tagging Oh I See sahaja. Umat Islam berpecah-belah semata-mata kerana berbeza pandangan politik, pergantungan kepada sesebuah kuasa besar atau mempunyai fahaman yang berlainan mengenai hal yang berkait dengan soal mazhab maka perpaduan dan keamanan negara Islam secara keseluruhannya sukar untuk dicapai.
Negara Islam tidak mampu menyediakan pertahanan untuk melindungi ummah, ketidakberadaan dalam kesusahan.
Umat Islam bukannya sedikit tetapi seperti digambarkan Rasulullah SAW bagaikan buih. Dalam satu hadis Nabi SAW, “Baginda bersabda :”Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya: “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda SAW menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dariada (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?” Baginda menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.” (Sahih - Hadis riwayat Abu Daud, Kitab al-Malahim: Bab: Fi Tada al Umam ‘Alal Islam, jld. 4, ms. 484, no: 4297)
Hadis di atas digambarkan Baginda SAW mengenai keadaan umat Islam di akhir zaman.
Apa yang menarik untuk diperkatakan di sini jika diamati hadis yang tertera di atas maka kita akan dapati Rasulullah SAW menyebut “...Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai…” bagi menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang sahabatnya.
Inilah yang dikatakan majoriti yang diam.
Kumpulan negara-negara bukan Barat (kecuali Rusia yang sebahagian besar wilayah berada di Asia) menbina kekuatan baharu dengan menubuhkan BRICS yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Antara asas dan objektif penubuhan BRICS ialah untuk tidak lagi mengunakan mata wang dolar AS di dalam perdagangan sesama negara tersebut.
Kelebihan dan potensi besar BRICS ialah jumlah penduduk negara anggota BRICS yang berjumlah 3.21 bilion lebih daripada 41.5% penduduk dunia. Manakala keluasan negara anggota BRICS dianggarkan berjumlah 27% daripada keluasan muka bumi. KDNK negara anggota BRICS berjumlah AS$26.6 trilion iaitu 26.2% daripada Keluaran Kasar Dunia dan dianggarkan mempunyai rizab asing berjumlah AS$4.46 trilion pada 2018.
Negara anggota BRICS adalah pengeluar komoditi utama dunia seperti minyak mentah dan gas, bijirin, arang batu, bijih besi, tembaga, aluminium, nikel dan emas termasuk juga komoditi berharga seperti platinum dan palladium. Dengan status China yang digelar sebagai “world factory“, BRICS sememangnya mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain utama geopolitik dan ekonomi dunia.
Walaupun selepas beberapa tahun penubuhannya, BRICS dilihat tidak berfungsi malahan mula kedengaran suara-suara yang mengatakan pertubuhan ini sudah tidak mampu bertahan lama terutamanya ketegangan yang semakin memuncak antara China dan India dalam pelbagai isu
Namun sejak Rusia memulakan Operasi Ketenteraan Khas di Ukraine semuanya berubah, BRICS menjadi cabaran dan pesaing utama kepada AS dan barat untuk kelangsungan hegemoninya ke atas dunia.
Lebih menarik lagi apabila terdapat permohonan baharu daripada beberapa negara sedang membangun utama dunia hendak menyertai BRICS yang dijangka mampu menggugat organisasi seperti G7, WEF dan NATO.
Iran, Arab Saudi, Mexico, Algeria, Argentina, Indonesia dan Turkiye adalah antara negara yang memohon untuk menyertai BRICS.
Secara perbandingan jumlah penduduk negara Islam juga agak besar dengan populasi 1.8 bilion yang juga merupakan lebih 24.1 peratus daripada penduduk dunia.
Kekayaan sumber alam serta galian seperti minyak, emas, berlian, logam, rempah ratus kebanyakannya berada di dunia Arab, negara Islam di Afrika, mahu pun nusantara.
Dunia barat tidak banyak dikurniakan nikmat sebegini namun mereka mampu menguasai dunia melalui usaha mereka melakukan penjelajahan, penjajahan yang pelbagai bentuk dan akhirnya penjarahan bagi membiayai imperialisme mereka.
Kita lama menubuhkan OIC tetapi tidak mampu menentang barat seperti yang cuba dilakukan BRICS malah negara Islam mengikut berada di bawah bayangan Rusia dan China, kuasa besar yang mencabar dominasi AS. Kita memiliki kekuatan sumber yang besar.
Negara Islam bukannya tidak kaya, kaya dari segi sumber galian, besar dari segi jumlah penduduk, kaya dari segi kewangan tetapi kita masih lemah tidak dapat memimpin dunia kerana kita adalah majoriti yang diam yang tunduk kepada kuasa-kuasa besar dunia.
BRICS sedang mencorak geopolitik mereka dalam mencabar geopolitik kuasa Barat, di manakah geopolitik dunia Islam?
Bayangkan betapa lemahnya kita dan dihina hinggakan kita suci kita pun dibakar! – 1 Julai, 2023.
*Ismail Hashim Yahaya, pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen