MAHKAMAH Pilihan Raya Tertinggi Brazil pada Jumaat memutuskan bahawa bekas presiden Jair Bolsonaro tidak dibenarkan bertanding selama lapan tahun kerana salah guna kuasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Jika keputusan itu muktamad, ini bermakna bekas pemimpin sayap kanan itu akan dihalang daripada bertanding pilihan raya presiden pada 2026.
Pegawai pembela akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.
Empat hakim mengundi menyokong larangan itu, manakala seorang lagi menentang, menurut laporan di televisyen Brazil pada Jumaat.
Pejabat peguam negara menuduh Bolsonaro menimbulkan keraguan terhadap sistem pilihan raya Brazil semasa pertemuan dengan diplomat asing pada Julai 2022.
Bolsonaro mendakwa bahawa sistem pilihan raya tidak selamat dan boleh dimanipulasi.
Sistem pilihan raya Brazil berbentuk elektronik dan lulus ujian keselamatan Mahkamah Pilihan Raya Tertinggi Brazil pada Mei lalu.
Bagaimanapun, Bolsonaro berulang kali meragui kebolehpercayaan sistem itu dan tidak pernah mengaku kalah dalam pilihan raya pada Oktober menentang pemimpin kiri yang juga Presiden terkini Luiz Inácio Lula da Silva. – Bernama, 1 Julai 2023.
Komen