Australia benarkan ekstasi, 'magic mushroom' untuk perubatan


Australia membenarkan penggunaan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine atau ekstasi untuk merawat masalah kesihatan mental tertentu. – Gambar AFP, 1 Julai 2023.

AUSTRALIA menjadi antara negara pertama di dunia membenarkan penggunaan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ‘magic mushroom’ untuk merawat masalah kesihatan mental tertentu.

Mulai hari ini, pakar psikiatri berdaftar di negara itu diberi kuasa untuk memberi preskripsi dua jenis dadah berkenaan, yang juga dikenali sebagai ekstasi dan psilocybin, bagi rawatan gangguan tekanan selepas trauma dan beberapa jenis kemurungan.

Di Kanada dan Amerika Syarikat (AS), pihak berkuasa di negara terbabit membenarkan penggunaan satu atau kedua-dua dadah tersebut untuk tujuan perubatan, namun hanya dalam ujian klinikal atau dengan permit khas.

Pihak yang menyokong langkah itu berharap ini akan membuahkan hasil dalam usaha merawat pesakit kesihatan mental selepas rawatan lain didapati gagal.

Mike Musker, penyelidik kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri di University of South Australia, berkata MDMA berguna untuk merawat tekanan selepas trauma, manakala psilocybin bagi pesakit yang mengalami kemurungan.

Jelasnya, MDMA memudahkan pesakit berhubung dengan ahli terapi serta bercakap mengenai beberapa pengalaman buruk mereka.

Manakala psilocybin memberi pesakit kesan psikospiritual yang tidak ditemui melalui ubat tradisional, kata Musker, menambah dadah itu mungkin membuat pesakit berasa berbeza mengenai diri dan kehidupan,

“Ini akan menerbitkan rasa untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya kepada AFP.

Pakar itu bagaimanapun meragui MDMA dan psilocybin akan digunakan secara meluas dalam kalangan pesakit kesihatan mental sehingga tahun depan. – AFP, 1 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen