Hilang sebelah kaki tidak patah semangat Gelanggang


Desmond Davidson

Pekebun lada berketurunan Iban, Gelanggang Lipa berjaya membuktikan orang kurang upaya juga mampu berdikari. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Julai 2023.

GELANGGANG Lipa, pekebun berketurunan Iban, terharu apabila dua pegawai dari Lembaga Lada Malaysia (MPB) datang melawatnya di kebunnya yang terletak jauh di kawasan pedalaman di Betong, Sarawak.

Tidak pernah terjangkau dalam fikiran lelaki berusia 75 tahun itu pegawai kerajaan sanggup bersusah payah meredah hutan untuk datang melihat kebunnya dan menawarkan bantuan.

Gelanggang tinggal di Rumah Panjang Tayan di Penebak Nanga, Ulu Layar di bandar Betong yang terletak kira-kira 200km dari Kuching. Kebun lada Gelanggang terletak lebih kurang 20 minit dari rumah panjang berkenaan.

Perjalanan dari pejabat MPB di Simpang Layar ke Rumah Panjang Tayan pula mengambil masa kira-kira 40 minit.

Cabaran hidup Gelanggang bermula selepas tertembak kakinya sendiri semasa keluar berburu bersama seorang rakan 40 tahun lalu. Warga emas itu berkata senapang patahnya meletup secara tiba-tiba dan mengenai kaki kirinya.

“Ketika itu saya fikir saya akan mati,” katanya kepada The Malaysian Insight yang datang bersama pegawai MPB.

Mengimbas semula kejadian itu, Gelanggang berkata dia menanggung kesakitan selama 10 jam di dalam hutan sebelum penyelamat tiba untuk membawanya ke hospital.

Gelanggang bertubuh kecil, tetapi rakannya tidak berdaya untuk membawanya keluar dari hutan ke rumah panjang yang mengambil masa sejam. Dia terpaksa ditinggalkan di hutan sementara rakannya mendapatkan bantuan.

“Rasa sakit tidak tertanggung.”

Waktu itu sudah pukul 3 pagi ketika Gelanggang tiba di Hospital Sri Aman yang terletak 78km dari hutan itu.

“Apabila doktor periksa kaki saya, mereka kata kaki kiri saya tidak boleh diselamatkan kerana tulang sudah hancur.

“Doktor kata kaki saya perlu dipotong. Saat itu jantung saya bagaikan terhenti,” katanya.

Selepas beberapa bulan dirawat di hospital, Gelanggang dibenarkan pulang. Sukar baginya untuk menerima hakikat dia kini tidak boleh lagi ke kebun atau berburu seperti dulu.

Kebun lada yang diusahakan Gelanggang Lipa di Betong, Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Julai 2023.

Ketabahan dan kerja keras

Sebelum ditimpa kecelakaan ketika berburu, Gelanggang sudah pun mula menanam lada, dan kebunnya diuruskan oleh isterinya Duai Saga, 71, sepanjang dia dirawat di hospital.

“Orang cakap saya tak boleh lagi berkebun selepas hilang sebelah kaki, tetapi ejekan mereka berikan saya semangat,” katanya.

Gelanggang mahu buktikan yang mereka salah, dan semangatnya untuk membuktikan orang kurang upaya sepertinya mampu berdikari semakin membara sebaik sahaja menerima kaki palsu.

Kini, dengan bantuan isteri dan menantunya, Gelanggang mempunyai lebih 600 pokok lada di kebunnya. – 1 Julai 2023.

Berita penuh di sini


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen