Perkeso gantung tugas pengawal keselamatan halang wanita pakai skirt masuk pejabat


Ravin Palanisamy

Seorang peguam di Pulau Pinang mendakwa rakan wanitanya yang memakai skirt paras lutut dihalang masuk ke pejabat Perkeso di Jalan Burma pada Rabu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2023.

ANGGOTA Rela yang menahan seorang wanita berpakaian skirt dari memasuki pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang, digantung kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman berkata tiada arahan seumpama itu dikeluarkan dan anggota Rela terbabit bertindak di luar bidang tugasnya.

“Perkeso ingin menekankan apa yang berlaku di luar pengetahuan pengurusan dan anggota Rela terbabit bertindak di luar bidang tugasnya.

“Perkeso mengambil tindakan segera terhadap individu terbabit dengan meminta penjelasan, dan beliau digantung tugas berkuatkuasa 29 Jun, hingga siasatan terhadap kes ini selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Peguam Ajit Singh Jessy yang menghebahkan insiden itu di mana wanita terbabit yang juga rakan sekerjanya dihalang masuk ke pejabat Perkeso di Jalan Burma pada Rabu.

Wanita terbabit dikenali sebagai May, menemaninya untuk mendaftarkan pembantu rumah di Perkeso.

Ajit mendakwa May memakai skirt paras lutut tetapi pengawal keselamatan di pejabat itu berkata May sepatutnya memakai skirt hingga paras kaki.

“Kami tanya apa masalah dengan skirt itu paras lutut. Dia kata itu peraturan.

“Selepas beberapa kali kami tanya apa masalah dengan skirt May, dia kata: ‘Ini kali ok. Lain kali tak boleh’,” kata Ajit.

Ajit berkata tiada orang lain yang kisah tentang pemakaian May sebaik saja mereka masuk ke bangunan pejabat itu.

“Sejak bila pengawal keselamatan diberi hak untuk kuatkuasa kod berpakaian? Saya ingatkan tugas mereka untuk jaga bangunan.

“Tolong hentikan gangguan awam seperti ini di pejabat kerajaan,” katanya. – 30 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen