SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan kerana memandu secara melulu dan memandu tanpa lesen di Chukai, Terengganu, semalam, lapor Sinar Harian.
Polis turut menahan empat penumpang dipercayai rakan yang berada di dalam kereta bersamanya.
Ketua Polis Daerah Kemaman Hanyan Ramlan berkata sebuah Proton Saga berwarna putih dilihat melanggar arus di Taman Banggol Indah dan pemandunya cuba mengelak pihak berkuasa.
“Pegawai cuba memberhentikan kenderaan tetapi pemandunya tidak mengendahkan arahan berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri,” katanya dipetik.
Polis mengejar dan mengarahkan pemandu berhenti beberapa kali tetapi tidak diendahkan oleh remaja itu.
“Selepas mengejar sejauh 10km, kereta itu akhirnya berhenti di luar kedai dobi layan diri dan suspek berjaya ditahan,” katanya.
Kelima-lima mereka yang berumur antara 13 hingga 16 tahun itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut. – 30 Jun, 2023.
Komen