RAKYAT Malaysia yang berhasrat mengunjungi negara Kesatuan Eropah (EU) tahun depan perlu mendapatkan dokumen kebenaran perjalanan dalam talian Sistem Penguasaan dan Maklumat Perjalanan Eropah (ETIAS).
Menurut laman web rasmi ETIAS, dokumen perjalanan itu akan dihubungkan dengan pasport mereka.
Kebenaran itu akan sah selama tiga tahun atau sehingga tarikh tamat pasport.
Sebaik pasport tamat tempoh, pengunjung perlu mendapatkan kebenaran perjalanan ETIAS yang baharu.
“Dengan kebenaran perjalanan ETIAS yang sah, seseorang boleh memasuki mana-mana wilayah dalam negara Eropah selama mana dimahukan untuk jangka masa pendek, biasannya sehingga 90 hari, dalam sebarang tempoh selama 180 hari.
“Bagaimanapun, dokumen ini tidak menjamin kemasukan. Apabila anda tiba, pegawai sempadan akan meminta untuk melihat pasport dan dokumen anda yang lain serta mengesahkan anda memenuhi syarat kemasukan,” katanya.
Setiap permohonan dikenakan caj sebanyak €7 dan boleh dibuat menerusi laman web ETIAS atau sistem aplikasi mobil.
Menurut EU, kebanyakan permohonan akan diproses serta merta tetapi ada yang akan mengambil masa sehingga empat hari untuk menerima keputusan.
Ini boleh dilanjutkan sehingga 14 hari sekiranya pengunjung diminta menyediakan maklumat atau dokumentasi tambahan, atau sehingga 30 hari jika mereka dipanggil untuk temuduga.
“Kerana itulah anda seharusnya memohon kebenaran perjalanan ETIAS seawal mungkin ketika merancang perjalanan,” katanya.
Kebenaran perjalanan ETIAS akan diperlukan bermula 2024 untuk memasuki Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Czech Republic, Denmark, Estonia, Finland, France, Germany, Greece, Hungary, Iceland, Italy, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, the Netherlands, Norway, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Spain, Sweden dan Switzerland.
Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada laman web ETIAS.
Pada masa sekarang, pemegang pasport Malaysia dikecualikan daripada visa untuk memasuki mana-mana negara Eropah. – 29 Jun, 2023.
Komen