Pelitup muka tidak lagi wajib dalam pengangkutan awam, kata menteri


Ravin Palanisamy

Topeng pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam pengangkutan awam dan kemudahan penjagaan kesihatan apabila KKM melonggarkan lagi sekatan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melonggarkan lagi sekatan Covid-19 apabila topeng pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam pengangkutan awam dan kemudahan penjagaan kesihatan, kata Dr Zaliha Mustafa.

Walaupun tidak wajib, Menteri Kesihatan tetap menggalakkan penggunaan topeng pelitup muka semasa menaiki pengangkutan awam.

“Topeng muka amat digalakkan untuk individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan di mana pengudaraan kurang baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun penggunaan topeng pelitup muka masih diwajibkan bagi pesakit Covid-19 yang diuji positif dan petugas kesihatan yang berurusan dengan pesakit.

Dr Zaliha juga berkata tempoh kuarantin bagi pesakit positif Covid-19 akan dikurangkan daripada tujuh kepada lima hari berkuat kuasa 5 Julai ini.

Beliau berkata pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan dijangkiti di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit dilanjutkan enam bulan lagi sehingga 31 Disember tahun ini walaupun situasi Covid-19 di negara ini tidak lagi membimbangkan.

“Pelanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” juga masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di Malaysia. 

“Selain itu perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidil Adha dan juga Pilihanraya Negeri, berkemungkinan berisiko menyumbang kepada peningkatan kes dan membebankan sistem perkhidmatan kesihatan Kerajaan jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Dr Zaliha berkata kementerian akan terus memantau situasi dan varian Covid-19 yang dilaporkan dari semasa ke semasa supaya tindakan pantas dapat diambil apabila diperlukan. – 29 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen