MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya tumpu kepada usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dan menoktahkan kemiskinan di negeri itu, bukannya mencari publisiti murahan dengan menyerang Pulau Pinang, kata Amanah.
Timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata tindakan Sanusi yang gemar mencetus kontroversi hanya bermotifkan politik dan tidak menguntungkan rakyat.
“Isu Pulau Pinang dan Kedah bukannya isu nasional. Kenyataan Sanusi tidak membantu orang miskin di Kedah. Rakyat yang menganggur tidak akan dapat manfaat apa-apa.
“Isu alam sekitar tidak selesai, begitu juga perlombongan haram nadir bumi. Sanusi sepatutnya cari jalan bagaimana untuk tingkatkan ekonomi Kedah,” katanya semasa temu bual bersama The Malaysian Insight.
Salahuddin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor merujuk kepada kenyataan Sanusi pada Mei lalu, yang mendakwa Pulau Pinang masih milik Kedah.
Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan, sebaliknya Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis. Beliau juga dilapor media mahu Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menyokong dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.
Kenyataannya itu dibidas Perdana Menteri Anwar, berkata sebagai seorang menteri besar Sanusi seharusnya terikat dengan aspek perundangan dan faham mengenai Perlembagaan.
Anwar juga dilaporkan Bernama berkata setiap pemimpin perlu menghormati perjanjian Perlembagaan yang telah diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah dalam isu tersebut.
Awal Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan dan membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Sanusi itu. Setiausaha PDRM Noorsiah Saaduddin dalam satu kenyataan berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS bagaimanapun menafikan beliau mengeluarkan sebarang kenyataan yang mendesak Perlembagaan dipinda bagi menyokong dakwaan Pulau Pinang masih hak Kedah.
Beliau sebaliknya mendakwa hanya mengeluarkan kenyataan menuntut nilai pajakan Pulau Pinang yang dibayar kepada Kedah dinaikkan mengikut kadar semasa. Sanusi berkata bayaran pajakan yang dibayar kepada Kedahhanya berjumlah RM10.01 juta sejak 2018.
Menteri besar itu juga menuduh kenyataannya disalah petik portal berita. – 29 Jun 2023.
Komen