MAHKAMAH Belanda menolak permohonan lapan waris Sulu untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara Amerika Syarikat (AS) AS$14.9 bilion (RM69.5 bilion) terhadap Malaysia berkemungkinan beri kesan dalam bidang kuasa lain menurut Azalina Said Othman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) berkata ia tidak sah sejak awal dan “Final Award” yang dikatakan adalah terbatal dan tidak sah.
“Pihak penuntut Sulu tidak mempunyai asas perundangan untuk merampas aset Malaysia di Belanda. Penghakiman bersejarah ini juga merupakan petunjuk bahawa apa-apa usaha lanjutan oleh pihak penuntut dan pembiaya mereka untuk menguatkuasakan Final Award ini di bidang kuasa lain adalah bersia-sia,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, penghakiman di laman web mahkamah berkata: “Mahkamah menolak permintaan warga Filipina” untuk menuntut pelaksanaan anugerah timbang tara.
Tahun lalu, waris Sulu dianugerahkan AS$14.9 bilion oleh mahkamah timbang tara Paris dalam pertikaian panjang dengan Malaysia berhubung perjanjian tanah era penjajah.
Dalam usaha untuk menguatkuasakan anugerah itu, mereka cuba untuk merampas aset kerajaan Malaysia di Perancis, Luxembourg dan Belanda.
Azalina berkata keputusan Mahkamah Rayuan Hague menandakan pencapaian Malaysia dalam cabaran undang-undang yang berterusan untuk menghalang penguatkuasaan anugerah yang dikatakan di peringkat global, ancaman kepada keseluruhan sistem timbang tara antarabangsa.
“Pada masa sama, kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk memperolehi pembayaran kos daripada pihak penuntut, rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023 yang mengekalkan penentangan Malaysia terhadap ‘penghakiman awal’ Dr Stampa terhadap bidang kuasa.
“Kerajaan Madani akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terjamin dan ditegakkan pada setiap masa.”
Azalina berkata Final Award dikeluarkan hasil daripada proses timbang tara tidak sah yang dikemukakan oleh pihak penuntut yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud.
Beliau berkata keputusan ini dibuat secara tegas berdasarkan tiga alasan berikut:
i) Pengeluaran Final Award adalah tidak sah berikutan pelantikan Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara oleh Mahkamah Sepanyol sebelum ini sudah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol, sekaligus membatalkan semua asas tindakannya sejurus itu. Oleh itu, tiada pengiktirafan dan penguatkuasaan bagi Final Award boleh dilaksanakan.
ii) Selain itu, mahkamah juga memutuskan Perjanjian 1878 tidak mempunyai klausa timbang tara yang sah memandangkan klausa yang merujuk kepada Konsul General Borneo untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian tidak boleh disifatkan sebagai satu klausa timbang tara.
iii) Mahkamah Rayuan Belanda juga mendapati Award tersebut tidak dapat diiktiraf dan dikuatkuasakan di Belanda berikutan penangguhan pelaksanaan Final Award di Paris. – 28 Jun, 2023.
Komen