Perbalahan dalaman tidak jejaskan kerajaan perpaduan, kata pemimpin Amanah


Alfian Z.M. Tahir

Perbalahan antara individu dalam PH dan BN menjelang PRN tidak akan menjejaskan kerajaan perpaduan, kecuali jika pemimpin tertinggi gabungan yang bertelingkah, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan dapat kelebihan, kesan daripada perbalahan dalaman antara individu dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum (PRN) yang dijangka Ogos depan, kata pemimpin Amanah.

Memetik pengalaman sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata kerajaan perpaduan akan hanya terjejas jika perbalahan itu membabitkan pemimpin tertinggi daripada kedua-dua gabungan.

“Sepanjang 40 tahun pengalaman saya, rasanya perbalahan dalaman membabitkan ahli parti tidak akan menjejaskan teruk persediaan kami untuk PRN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ia boleh terjejas jika perbalahan itu dalam kalangan pemimpin tertinggi parti. Jika kenyataan datang daripada individu yang tidak pegang jawatan penting dalam parti, kesannya sikit sangat atau tiada langsung.”

Salahuddin yang juga pengerusi PH Johor memberi contoh perbalahan dalaman yang ada kesan iaitu ketika Dr Mahathir Mohamad buat keputusan untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, atau ketika kedua-dua tokoh itu berpisah.

Satu lagi contoh ialah ketika PAS dan Semangat 46 bekerjasama berdepan dengan BN pada 1990-an. Ketika Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu mengetuai Semangat 46 memakai perhiasan kepala Kadazan yang terdapat lambang seperti salib, katanya, ia menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang termasuk PAS, Semangat 46 serta beberapa parti lain tewas kepada BN pada pilihan raya umum 1990.

“Itu menunjukkan kemusnahan hanya akan berlaku jika ketua berbalah,” katanya.

Salahuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tony Pua pada Jumaat lalu yang berkata penyokong PH perlu buktikan “sebuah parti berbilang kaum yang bersih dan tidak korup” mampu melakukan lebih baik berbanding “gabungan korup seperti BN, Umno dan Bersatu”.

Komen itu mencetuskan kritikan daripada kedua-dua pihak Umno dan DAP, dengan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kenyataan itu tidak wajar.

Reaksi Umno ialah protes kepada kepimpinan tertinggi DAP.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu turut menggesa kepimpinan DAP tidak mencalonkan Pua yang juga bekas ahli Parlimen Damansara pada PRN Selangor akan datang.

Sementara itu, Salahuddin yang juga ahli Parlimen Pulai berkata parti komponen PH cukup berpengalaman untuk berdepan dengan isu membabitkan agama dan bangsa yang digunakan PN.

Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata dakwaan tidak berasas seperti itu boleh diperbetulkan menerusi naratif jelas.

“Kita sudah biasa dengan perkara ini. Isu sama diulang-ulang, isu bangsa dan agama. Pada PRU lalu, apa saja yang PN tidak cakap tentang PH. Ia adalah tuduhan tidak berasas yang sama.

“Sebelum 2018, ketika BN tewas PRU, macam-macam dikata tentang kami dalam PH. Tetapi semua ini perlu dijawab dengan naratif jelas. Kita gunakan sepenuhnya media sosial untuk membalas naratif mereka dan saya percaya kita boleh atasinya,” katanya.

Kerajaan Anwar menjadi sasaran serangan oleh pemimpin PN terutama PAS yang mendakwa kerajaan mengetepikan Islam dan Melayu.

Baru-baru ini, bekas timbalan ketua Dewan Ulama PAS Syeikh Zainul Asri Mohd Romli membayangkan hanya PAS dan PN “bersama Tuhan” seperti parti politik lain adalah “musuh Tuhan”.

Laporan polis dibuat Ketua Biro Mobilisasi Pusat Media PH, Mohamad Yahya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Ahad. – 28 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen