PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) boleh merebut kembali undi Melayu walaupun trend semasa menunjukkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) meningkat, kata Salahuddin Ayub.
Timbalan presiden Amanah itu berkata Umno masih mempunyai penyokong tegarnya sendiri walaupun parti itu menghadapi krisis dalaman, begitu juga PH dengan penyokong setia gabungan itu.
“PN tidak akan dapat bolot semua undi Melayu. Umno ada penyokong tegar sendiri, walaupun ada krisis dalaman.
“Sama juga dengan PH, kita juga akan dapat sokongan orang Melayu.
“Tetapi kita tidak boleh terlalu yakin atau berpuas hati. Kita boleh menang di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dan beri saingan sengit di Kedah, Kelantan dan Terengganu,” kata pengerusi PH Johor itu ketika ditemu bual The Malaysian Insight.
Maklum mengenai beberapa tinjauan yang mendapati sokongan orang Melayu kini beralih kepada PN, Salahuddin berkata persaingan pada pilihan raya di enam negeri akan datang berbeza daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Kami maklum tentang banyak analisis yang telah dijalankan, tetapi dalam politik data bukanlah penentu. Sebaliknya, kajian penting untuk kita maju ke depan.
“Pilihan raya negeri akan datang berbeza dengan pilihan raya umum lalu. Pada PRU15, persaingan antara PH, BN dan PN, tetapi sekarang PH/BN menentang PN,” jelasnya.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata, Umno yang sebelum ini parti Melayu dominan, sedang mengumpul semula kekuatannya selepas mengalami krisis kepimpinan sejak lima tahun lalu.
“Selepas dua perhimpunan agung Umno kita lihat parti itu semakin kukuh.
“Kalau orang Melayu tolak Umno, Umno sudah tentu tidak mampu bangkit, malah presiden dan timbalan presidennya juga tidak digulingkan,” katanya.
Beberapa penganalisis politik sebelum ini berkata sokongan pengundi Melayu beralih kepada PN dalam PRU15 tahun lepas. Jangkaan PN meraih 80% undi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang juga mungkin realistik, kata mereka.
Salahuddin dalam pada itu memberi jaminan bahawa kerjasama antara parti-parti komponen dalam kerajaan perpaduan ketika ini utuh. – 28 Jun 2023.
Berita penuh di sini.
Komen