Ketaksuban PAS pada tubuh wanita


Ruhan Shahrir

WAN Razali Wan Nor, anggota parlimen daripada PAS dalam ucapannya di Dewan Rakyat tempoh hari, mendakwa pakaian jururawat wanita adalah ketat dan menampakkan bentuk badan.

Justeru, beliau menyarankan supaya ia diubah. Tidak memeranjatkan. Ini bukanlah kali pertama PAS berpandangan begitu. Tubuh wanita cenderung menjadi ketaksuban PAS untuk dikawal, didisiplinkan dan ditundukkan. Persoalannya kenapa?  

Tubuh bukan hanya berfungsi sebagai jasad biologi, sarana kepada proses pernafasan, persetubuhan, pembiakan, pemakanan dan pembuangan najis.

Tetapi tubuh juga berfungsi sebagai jasad sosial, yakni tubuh diberikan makna dan nilai oleh masyarakat merentasi fungsi biologinya. Misalnya tubuh turut dimaknai dan dinilai menerusi estatikanya, fungsinya, identitinya, status sosialnya, keupayaannya, keberahiannya dan juga kesolehannya.

Makna dan nilai tubuh yang diberikan itu bergantung kepada epistemologi zaman, budaya masyarakat dan ideologi kumpulan yang menanggapinya. Dalam konteks ini ideologi Islam versi PAS, yang menghasilkan pandangan dunia mereka, cenderung mempengaruhi bagaimana mereka melihat tubuh wanita.

Pandangan dunia PAS

PAS mahukan tubuh yang soleh. Tubuh yang tidak soleh mengikut pandangan dunia PAS boleh menghasilkan keberahian yang berpotensi pula membawa kepada kemaksiatan.

Untuk menjadikan tubuh soleh, maka keberahian yang diwakili secara sosialnya oleh tubuh perlu dikawal, didisiplinkan dan ditundukkan.  

Sasaran PAS adalah wanita. Lebih khusus lagi jururawat wanita, walaupun hakikatnya lelaki juga turut menyertai profesion kejururawatan.

Mensasarkan jururawat wanita sebagai tumpuan untuk disolehkan, jelas menunjukkan bagaimana celanya kedudukan, peranan dan nilai seorang wanita di mata PAS.

PAS melihat wanita sebagai objek yang perlu disolehkan tubuh mereka. Tubuh wanita pada PAS adalah punca kepada keberahian seksual lelaki. Tubuh yang cela.

Oleh kerana itu ia perlu disembunyikan dari mata lelaki supaya dorongan maksiat dapat dilanturkan jauh-jauh. Caranya ialah menerusi etika pemakaian yang dianjurkan oleh PAS.

Pada PAS pensolehan tubuh wanita hanya boleh dilakukan menerusi pemakaian “patuh syariah”. Takrif pemakaian “patuh syariah” tersebut mestilah mengikut acuan PAS sungguhpun etika pakaian seragam jururawat wanita sudah pun sedia wujud.

Menurut Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Nor Hayati Abdul Rashid, pemakaian seragam jururawat di klinik dan hospital awam tidaklah ketat kerana ia direka mengikut garis panduan yang disediakan untuk memudahkan mereka menjalankan tugas-tugas kejururawatan.

Namun, pada PAS ia masih belum cukup. Masih belum “patuh syariah”.

Barangkali apa sahaja seragam yang dipakai oleh wanita, sekali pun menutup aurat, masih tidak cukup buat PAS. Hanya “patuh syariah” versi PAS sahaja yang boleh menjamin kesolehan tubuh para wanita.

Inti kepada cara fikir PAS tersebut ialah tubuh wanita hanyalah sebuah objek.

Sebagaimana sifatnya selaku objek, tubuh wanita perlu dikawal, didisiplinkan dan ditundukkan untuk memastikan kesolehannya. Ia berseberangan dengan cara fikir yang melihat tubuh sebagai subjek.  

Objek boleh diperlakukan. Manakala subjek mempunyai upaya untuk melakukan. Satu sifatnya pasif (objek). Satu lagi sifatnya aktif (subjek).

Dua konsep yang berseberangan. Objek boleh dicorakkan. Subjek boleh mencorakkan.

Dalam konteks ini PAS adalah subjek yang melihat wanita sebagai objek pasif. Maka tubuh wanita boleh dicorakkan menurut faham PAS, termasuklah bagaimana seharusnya seorang jururawat wanita berpakaian.

Sebagai objek yang pasif, wanita tidak punya kemandirian untuk menentukan bagaimana tubuhnya harus dibalut dengan pakaian.

Hanya balutan pakaian yang ditakrifkan oleh PAS sahaja yang boleh dijadikan seragam buat para jururawat wanita.

Ini adalah latar kepada kerangka pemikiran yang membentuk pandangan dunia PAS terhadap jururawat wanita khususnya dan wanita umumnya.

Pandangan dunia yang sendeng

Kesendengan pandangan dunia PAS itu telah menidakkan kemandirian wanita untuk menentukan hak tubuhnya sendiri.

Peraturan dan etika pemakaian yang telah pun ditetapkan oleh garis panduan pemakaian seragam seperti mana yang dijelaskan oleh presiden Kesatuan Jururawat Malaya, sebenarnya sudah pun mencukupi.

Tidak perlu untuk PAS campur tangan bagi menyempitkan lagi tatacara pemakaian dengan pakaian seragam jururawat versi PAS pula.  

Apakah selepas pakaian seragam jururawat wanita akan ada pula pakaian-pakaian seragam wanita di dalam kerjaya polis, tentera, kastam, imigresen dan jabatan-jabatan perkhidmatan awam lain yang akan turut dituntut supaya patuh kepada tatacara pemakaian versi PAS?  

Menentukan bagaimana jururawat wanita harus berpakaian adalah langkah awal PAS untuk mengawal, mendisiplinkan dan menundukkan wanita.

Lebih sendeng lagi dalam isu ini ialah tiada pula sebarang saranan daripada PAS untuk kaum lelaki merendahkan atau mengalihkan pandangan mata mereka jika sekiranya pakaian yang dipakai oleh jururawat wanita boleh membangkitkan nafsu syahwat mereka.  

Di sini kita dapat melihat bagaimana PAS menjadikan wanita sebagai objek sasaran untuk disolehkan.

Manakala lelaki pula dianggap sebagai subjek mandiri yang boleh mensolehkan dirinya sendiri. Justeru, pada PAS yang perlu diubah adalah pemakaian jururawat wanita bukan pandangan mata lelaki.

Dari pemerhatian ini tidak berlebihan untuk saya katakan bahawa peranan, kedudukan dan nilai seorang wanita di mata PAS adalah lebih rendah daripada lelaki.

Yang perlu dikawal, didisiplinkan dan ditundukkan adalah wanita. Yang mengawal, mendisiplinkan dan menundukkan adalah lelaki. Suatu bentuk kesendengan dalam pandangan dunia PAS.

Nafi kemandirian wanita

Pandangan dunia PAS mengenai wanita adalah suatu bentuk persilangan yang mengikat konsep-konsep tentang tubuh, seksualiti, kawalan, kuasa politik dan kekerasan dalam satu bentuk simpulan yang tak terpisah antara satu sama lain.

Tubuh wanita pada PAS adalah objek seksual yang boleh membangkitkan berahi syahwat lelaki.

Justeru, ia perlu disembunyikan melalui suatu bentuk kawalan rasmi menerusi kuasa politik yang boleh menentukan pakaian seragam mana yang “patuh syariah” dan mana yang tidak.

Kuasa politik bukan hanya menjadi instrumen buat PAS untuk mengawal, mendisiplinkan dan menundukkan tubuh wanita tetapi juga sebagai alat untuk menafikan kemandirian wanita dalam menentukan haknya ke atas tubuhnya sendiri.

Manusia yang tidak diberikan hak ke atas tubuhnya sendiri adalah manusia yang dizalimi. Suatu bentuk kekerasan yang tersembunyi. Bermula dengan kawalan pemakaian, berakhir dengan kehilangan kemandirian. – 27 Jun, 2023.
 

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen