Belum ada keputusan berhubung projek HSR, kata Loke 


Noel Achariam

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya tidak mempunyai pengetahuan mengenai mana-mana syarikat yang mengambil alih projek berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2023.

KERAJAAN belum membuat sebarang keputusan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata setakat ini pihaknya tidak mempunyai pengetahuan mengenai mana-mana syarikat yang mengambil alih projek berkenaan.

Beliau menjawab soalan Senator Lim Pay Hen yang bertanya sama ada Berjaya Corp akan mengambil alih projek HSR dan menamakan semula Berjaya Rail (B Rail).

“Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu

“Ini adalah projek mega, yang melibatkan Malaysia dan Singapura,” kata Loke kepada Dewan Negara hari ini.

Loke berkata sebarang keputusan berhubung HSR perlu disemak dengan betul.

“Ia (HSR) perlu melalui proses yang teliti dan sebarang keputusan perlu dibuat dengan berhati-hati.”

Loke juga berkata minggu depan MyHSR Corporation Sdn Bhd akan mengumumkan RFI (Permintaan untuk maklumat) mengenai projek itu.

“Mana-mana syarikat boleh menyediakan kertas cadangan dan cadangan mereka (untuk projek itu.)

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan pembatalan projek landasan rel sepanjang 350km selepas gagal mencapai persetujuan mengenai cadangan perubahan menjelang tarikh akhir 31 Disember 2020.

Perjanjian dua hala untuk pembangunan projek itu, yang ditandatangani dengan Singapura pada 13 Disember 2016, bertujuan untuk menggalakkan integrasi ekonomi antara kedua-dua negara.

Pada Mac, 2021 Malaysia mengumumkan bahawa ia telah membayar S$102.8 juta (RM318 juta) kepada negara kota itu untuk kos yang ditanggung untuk pembangunan projek itu dan berhubung dengan pelanjutan penggantungannya. – 27 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen