MUDA akan bertanding pada pilihan raya di enam negeri yang akan datang secara sendirian, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Presiden Muda itu berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua pandangan.
“Muda telah lama membincangkan hala tujunya dalam menghadapi enam pilihan raya negeri akan datang.
“Selepas bincang, Muda buat ketepatan berdasarkan pada konsensus parti untuk bertanding di PRN atas kekuatan sendiri,” kata Syed Saddiq pada sidang media hari ini.
Syed Saddiq menolak desas-desus bahawa Muda bergerak solo dalam pilihan raya akan memecahkan undi untuk pakatan kerajaan perpaduan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional dan beberapa parti lain.
“Kita tidak seharusnya menggunakan taktik menimbulkan ketakutan untuk membenarkan sikap berpuas hati dan keangkuhan,” katanya.
PH membisu dengan permohonan Muda untuk menyertai gabungan itu sejak parti berasaskan belia itu memohon untuk menyertai pada November tahun lepas.
Parti itu bertanding di enam kerusi Parlimen pada pilihan raya umum tahun lepas selepas mencapai perjanjian dengan PH.
Hanya Syed Saddiq yang berjaya mempertahankan kerusinya di Muar.
Calon Muda yang lain ialah Lim Wei Jiet (Tanjung Piai, Johor), Mutalib Uthman (Masjid Tanah, Melaka), Siti Rohayu Bahrin (Tanjung Karang, Selangor), Danial Abdul Majeed (Kepala Batas, Pulau Pinang) dan Sharizal Denci (Kota Marudu, Sabah).
Syed Saddiq berkata salah satu matlamat Muda dalam PRN ini adalah untuk membawa politik baharu dan menamatkan politik lama.
“Sebelum ini kita perlu berkompromi tetapi hari ini kita boleh bercakap dengan suara kita sendiri.
“Kita memasuki pilihan raya negeri untuk menjadi suara hati nurani rakyat supaya rakyat mempunyai alternatif yang tidak mahu melihat politik 3R (kaum, agama dan royalti) dipermainkan tetapi pada masa sama menuntut janji pilihan raya seperti pembaharuan yang akan dijalankan.
“Jadi daripada melihat kepada dua blok politik terpencil (PH dan Perikatan Nasional), Muda dengan rendah hati meminta sokongan semua rakyat Malaysia,” katanya.
Syed Saddiq berkata parti itu akan berkempen hampir keseluruhannya melalui dalam talian untuk pemilihan akan datang.
“Sesi town hall pertama Muda (hari ini) akan melalui platform dalam talian,” katanya.
Syed Saddiq juga mengumumkan Ketua Penerangan Muda Luqman Long akan menjadi pengarah pilihan raya bagi pilihan raya negeri diwakili oleh Nurainie Haziqah. – 26 Jun, 2023.
Komen