Belanja pilihan raya: Parti bebas, calon terbatas


G Manimaran

Kempen menjelang Pilihan Raya Negeri melibatkan enam negeri sudah pun bermula.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2023.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh pilihan raya. Hari penamaan calon juga belum diketahui. Masih terlalu awal lagi. Pun begitu kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri sudah pun bermula.

Pelbagai program besar-besaran yang dikategorikan sebagai mega, sudah pun bermula. Program seumpama itu, oleh dua gabungan utama yang bakal bertanding, berlangsung pada penghujung minggu lalu di Selangor.

Ia menunjukkan kesiapsiagaan dan persediaan parti-parti yang bakal bersaing dalam PRN di enam buah negeri. Parti dan gabungan utama yang bakal bertanding juga bukan satu rahsia lagi.

Di sebalik kerancakan itu timbul satu isu apakah batasan perbelanjaan aktiviti atau program seumpama itu daripada sudut pilihan raya umum (PRU).

Aspek ini termasuklah PRN yang sudah memasuki tempoh akhir penganjuran. Proses penamaan calon dijangka akhir bulan depan dan disusuli dengan hari pengundian awal Ogos.

Program seumpama itu, anjuran pihak parti atau gabungan parti politik, akan rancak dan jumlahnya akan bertambah ketika tempoh berkempen.

Program dalam kategori ini belum termasuklah aktiviti anjuran oleh pihak calon dari semasa ke semasa sepanjang tempoh berkempen iaitu selepas penamaan calon berakhir dan menjelang hari pengundian.

Lazimnya, parti-parti politik akan memulakan kempen mereka lebih awal. Lebih awal sebelum pembubaran dan penetapan tarikh-tarikh pilihan raya - hari penamaan calon dan hari pengundian, termasuklah kedua-dua tarikh hari pengundian awal dan hari pengundian sebenar.

Di negara kita, kempen pilihan raya dan politik berlangsung hampir setiap hari dan sepanjang masa.

Ia memerlukan satu dana yang besar dan konsisten. Pada hari ini, kita sudah pun mula menyaksikan kempen ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sejurus selepas berakhirnya PRU15.

Ia menjadi lebih menarik dengan adanya PRN di enam buah negeri, satu perkembangan kali pertama disaksikan dalam sejarah pilihan raya negara.

Pembubaran sedang berlaku secara berperingkat-peringkat, bermula Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Selangor masing-masing pada 22 dan 23 Jun lalu.

Setiap kempen melibatkan satu perbelanjaan tertentu memandangkan ia akan melibatkan mobilisasi pelbagai sumber. Sudah pasti ia melibatkan kos yang besar di pelbagai peringkat.

Persoalan yang turut timbul, siapa yang bertanggungjawab membiayai dana yang diperlukan dan sejauh mana dana itu harus diisytiharkan sebagai perbelanjaan politik dan pilihan raya.

Dan, dari mana dana-dana itu disalurkan, dan siapa yang menyalurkannya.

Undang-undang pilihan raya semasa tidak memerlukan parti politik mendedahkan jumlah yang dibelanjakan dalam menguruskan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pilihan raya.

Sedangkan kita tahu bahawa ada perbelanjaan yang terlibat dalam pengurusan aktiviti. Aktiviti-aktiviti ini diadakan bagi meraih sokongan menjelang pilihan raya.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mentakrifkan pilihan raya sebagai “sesuatu pilihan raya yang diadakan mengikut peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pemilihan orang sebagai ahli Dewan Rakyat, DUN atau pihak berkuasa tempatan”.

Di bawah akta yang sama, tempoh berkempen merujuk kepada “tempoh mana-mana calon atau ejen pilihan rayanya dibenarkan mengadakan kempen pilihan raya di dalam bahagian pilihan raya calon itu, iaitu tempoh yang bermula dari masa pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa suatu pengundian akan dijalankan di dalam bahagian pilihan raya yang baginya dia dilantik dan berakhir apabila tamat hari sebelum hari mengundi.”

Malah, undang-undang yang sama memperuntukkan had atau batasan perbelanjaan oleh seseorang calon yang bertanding, di kedua-dua peringkat persaingan – kerusi parlimen dan negeri, dalam setiap PRU dan pilihan raya kecil.

Hanya calon yang perlu membuat pendedahan atau pengisytiharan. Bukannya parti mereka.

Sudah ada syor dan cadangan agar diadakan satu undang-undang berkaitan dengan sumbangan dana politik dan pilihan raya. Politik dan pilihan raya tidak boleh dipisahkan.

Sumbangan politik yang lazimnya berlaku sepanjang masa manakala dana pilihan raya yang merujuk kepada sumbangan khusus semasa pilihan raya.

Kedua-dua perkara tersebut memerlukan definisi dan sempadan yang jelas dalam menggubal undang-undang berkaitan kutipan dana dan had perbelanjaan.

Dalam membicarakan isu berkaitan dengan gelanggang persaingan yang adil dan saksama, soal perbelanjaan oleh parti politik perlu dilihat secara serius. Kita perlu berlaku adil kepada setiap parti dan calon yang bertanding.

Undang-undang semasa hanya menyediakan peruntukan berkaitan dengan batasan perbelanjaan calon, tetapi tidak ke atas dana dan wang yang dibelanjakan oleh parti.

Pemerhatian dan pemantauan kasar menunjukkan parti mengeluarkan lebih banyak wang untuk menguruskan perbelanjaan, yang secara langsung dan tidak langsung memanfaatkan calon masing-masing dalam mengharungi cabaran ketika tempoh berkempen. Ini termasuklah menyediakan poster dan kain rentang parti.

Dalam gambaran lebih luas, ia mempunyai impak ke atas pihak yang bersaing di satu-satu kawasan. Seterusnya ia mencetuskan polemik berkala bahawa pilihan raya demokrasi tidak mewujudkan padang persaingan yang adil dan saksama.

Apakah kita wajar mengambil kira perbelanjaan parti dan gabungan parti politik sebagai batasan perbelanjaan makro dalam menjamin keadilan persaingan kepada semua? Jawapannya adalah “Ya”.

Kita wajar melihat perkara ini. Jika tidak, gelanggang pilihan raya kita akan kekal memperlihatkan kecacatan yang disaksikan selama ini dan dituntut oleh pelbagai pihak supaya ia ditambah baik demi menyuburkan semangat demokrasi.

Di sebalik keperluan ini, kenyataan dua orang menteri besar minggu lepas memang menarik diperhatikan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan sebagai berharap agar amalan demokrasi tidak dicabuli sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian dengan penggunaan dana, harta dan agensi-agensi kerajaan oleh parti tertentu bagi tujuan kempen parti politik.

Malah beliau turut menyeru semua pihak untuk memasuki gelanggang pertandingan PRN sebagai “anak jantan”. Beliau juga memaklumkan akan mendapatkan perincian daripada penasihat undang-undang negeri Kedah berhubung pengurusan pentadbiran kerajaan ‘caretaker’ selepas DUN Kedah dibubarkan kelak.

Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun pula berkata beliau dan kesemua ahli mesyuarat kerajaan negeri akan memulangkan kenderaan rasmi kepada kerajaan negeri selepas penamaan calon.

Kata Aminuddin, mereka juga tidak akan menggunakannya sepanjang tempoh berkempen namun kenderaan itu masih boleh digunakan untuk tujuan rasmi.

Pengumuman kedua-dua ketua kerajaan negeri itu perlu dilihat dalam perspektif luas.

Justeru, demi mengelakkan salah guna kuasa, konflik kepentingan dan menegakkan budaya berintegriti serta menjamin gelanggang persaingan yang adil, undang-undang pilihan raya wajar diperkasakan bagi mewujudkan batasan penerimaan dana dan perbelanjaan di semua peringkat demi keadilan bagi setiap parti dan calon yang bertanding.

Jika Parlimen boleh menggubal peruntukan berkaitan Dasar 18, pendaftaran pengundi secara automatik dan mengekang perbuatan melompat parti, selepas polemik lebih tiga dekad, peruntukan mengenai batasan kutipan atau penerimaan dana dan belanja oleh parti politik (peringkat makro) dan calon (mikro) juga boleh direalisasikan demi ruang lingkup demokrasi lebih luas.

Isu ini satu perkara serius, relevan dan penting. Wajar dipertimbangkan oleh kerajaan pada hari ini. – 26 Jun, 2023.

*Dr G Manimaran merupakan penganalisis pilihan raya.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen