LAPAN orang maut pada Ahad di Ecuador dalam insiden tembakan ketiga yang disyaki berkaitan kumpulan kongsi gelap bulan ini, kata polis.
Lima orang lagi cedera dalam keganasan di luar sebuah kelab malam di bandar pantai Pasifik La Concordia, polis memberitahu saluran berita dalam kumpulan sembang WhatsApp.
Ecuador sedang mengalami lonjakan keganasan ketika kumpulan penyeludup kokain saingan bergaduh merebut kawasan dan bekalan.
Keganasan menyebabkan ratusan orang mati dalam beberapa tahun kebelakangan ini di jalanan dan di penjara.
Kumpulan samseng telah bertempur dengan kejam dalam beberapa pembunuhan beramai-ramai yang paling teruk di penjara seluruh Amerika Latin.
Beberapa serangan lain Ahad menyebabkan empat orang maut di ibu kota Quito, kata polis.
Isnin lalu, enam orang terbunuh dan lapan cedera dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan geng di Guayaquil, bandar pelabuhan yang paling teruk dilanda keganasan berkaitan dadah.
Guayaquil ialah bandar terbesar di negara ini, memiliki pelabuhan terbesar dan merupakan hab ekonomi.
Lokasi bandar itu yang menempatkan tiga juta daripada 18 juta penduduk Ecuador, menjadikannya tempat pelancaran strategik untuk penghantaran dadah ke Amerika Syarikat dan Eropah. – AFP, 26 Jun, 2023.
Komen