PASTINYA mencabar untuk memastikan pengundi muda yang bekerja mahupun belajar di negeri lain untuk pulang ke kampung halaman dan membuang undi pada pilihan raya negeri (PRN), tidak lama lagi, kata Undi18.
Pengasas dan Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai berkata perkara itu merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi bagi setiap pilihan raya.
Katanya, penting untuk kerajaan meneliti perkara ini bagi mengelakkan kemerosotan angka pengundi yang pulang.
“Saya percaya orang muda akan balik jika kerajaan berikan masa yang cukup untuk mereka pulang ke kampung.
“Sebab itu kumpulan seperti Undi18 dan Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh mengundi itu lebih awal,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kata Tharma, pihak berkuasa sudah pun mengetahui Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan tahun ini.
“Jadi, SPR ada lebih masa untuk rancang tarikh yang sesuai dan umumkannya lebih awal maka orang muda boleh rancang perjalanan balik mereka.
“Sebab mereka perlu ambil cuti, berkira soal kos tambahan untuk perjalanan dan buat pengaturan lain berkait kerja.
“Kerajaan boleh mengurangkan penurunan angka (pengundi) yang pulang ke kampung halaman dengan membuat pengumuman awal,” katanya.
Semalam Kedah mengumumkan pembubaran DUN Rabu ini sementara Kelantan sudah dibubarkan Khamis lalu (22 Jun) manakala Selangor dibubarkan sehari kemudian pada 23 Jun.
Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masih belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing.
Dalam pada itu, kata Tharma, orang muda yang bekerja di negeri lain juga memerlukan bantuan untuk pulang.
“Ini semua kos untuk mereka. Terdapat kumpulan masyarakat sivil seperti inisiatif Pulang Mengundi, di mana mereka mengumpulkan dana dan subsidi tambang tiket untuk balik,” katanya.
Katanya, kementerian pendidikan juga harus memainkan peranan terutamanya di universiti seperti menyediakan bas untuk menghantar pelajar pulang ke negeri masing-masing.
“Kami juga berharap universiti boleh memberi cuti beberapa hari untuk pelajar kembali mengundi seperti yang mereka lakukan pada PRU15. Ini akan membantu meringankan beban mereka.”
Tharma menganggarkan terdapat kira-kira 1.7 juta pengundi muda yang layak mengundi bagi PRN kali ini.
Beliau berkata, menurut saintis politik Bridget Welsh, pada PRU15 lalu kadar keluar mengundi Undi18 merupakan kedua tertinggi iaitu 79% selepas warga tua berumur 50 tahun ke atas iaitu 80%.
“Jadi, jelas golongan muda bermotivasi dan mahu terlibat dalam proses pengundian.
“Kami percaya trend yang sama akan dicerminkan dalam PRN nanti,” katanya
Beliau bagaimanapun berkata peratusan keluar mengundi tidak akan setinggi PRU15 kerana PRN mempunyai kadar keluar mengundi jauh lebih rendah.
“Saya percaya pengundi muda akan keluar lagi kali ini dan jangkaan selamat ialah kira-kira 60% hingga 65% kadar keluar mengundi.
“Pengajaran yang boleh kita pelajari daripada pilihan raya sebelum ini ialah mereka berminat dan mahu bersuara dalam pilihan raya,” katanya. – 26 Jun, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen