MOHAMED Azmin Ali tidak menolak untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) walaupun sebelum ini berkata beliau akan berehat.
“Situasi semasa memerlukan kita bekerja sebagai satu pasukan dan melonjakkan sokongan,” kata ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu pada sidang media hari ini ketika ditanya adakah beliau akan bertanding pada PRN Selangor.
“Jadi sebagai orang parti, saya akan patuh kepada arahan parti.”
Ditanya adakah beliau akan diberikan kerusi untuk bertanding, Azmin berkata “mungkin anda boleh telefon pengerusi Perikatan Nasional (PN)”.
Pada Februari, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor, mengumumkan akan berehat sementara daripada politik.
Azmin adalah bekas adun Bukit Antarabangsa, kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2018.
Ketua penerangan PN itu juga berkata rundingan kerusi antara parti PN untuk Selangor dan negeri lain, sudah selesai.
Azmin mengesahkan PN akan bertanding di semua 56 kerusi di Selangor.
“Harapnya kita akan menang dan tubuhkan kerajaan di Selangor.
“Kita perlu menang sekurang-kurangnya 29 kerusi untuk bentuk kerajaan, tetapi kita perlukan lebih lagi bagi memastikan kerajaan yang stabil,” katanya.
DUN Selangor dibubarkan semalam.
Tarikh untuk enam PRN belum ditetapkan. Semua enam negeri berkenaan perlu mengadakan pilihan raya sebelum September. – 24 Jun, 2023.
Komen