Zahid sanggup bersama DAP untuk lepaskan diri dari tuduhan mahkamah, kata Muhyiddin


Ravin Palanisamy

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sanggup bergabung tenaga dengan DAP untuk melepaskan diri dari pertuduhan mahkamah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Jun, 2023.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin menuduh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sanggup bergabung tenaga dengan DAP untuk melepaskan diri dari pertuduhan mahkamah.

“Dulu apabila anda bercakap tentang DAP kepada Umno, (Umno) menyerang (DAP) habis-habisan.

“Tetapi hari ini, pendirian mereka berubah. Kenapa? Kerana Zahid mahu membebaskan dirinya daripada tuduhannya,” kata ahli Parlimen Pagoh itu pada Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional di Selangor hari ini.

Muhyiddin, bekas timbalan presiden Umno, berkata kerjasama dengan DAP tidak berjalan lancar dengan ahli parti itu.

Beliau mendakwa beberapa ahli telah keluar Umno hari ini kerana kerjasama dengan DAP.

“Ada (yang keluar Umno) secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka kepada PN.

“Ada lagi yang masih dalam Umno tetapi menyokong PN dari dalam.

“Saya percaya ada ramai lagi ahli Umno yang akan meninggalkan parti untuk menyokong PN,” katanya.

Sementara itu, merujuk kepada kenyataan bekas ahli parlimen DAP, Tony Pua malam tadi yang menggelar BN korup, Muhyiddin berkata ia menunjukkan tiada ‘Perpaduan’ dalam Kerajaan Perpaduan.

“Bagaimana hendak kata perpaduan sedangkan tidak ada perpaduan langsung. Mungkin maksud perpaduan mereka berbeza.

“Malah di Parlimen, kita boleh melihat sedikit kegelisahan, keghairahan di kalangan penggubal undang-undang,” katanya.

Malam tadi, Pua, bercakap pada majlis makan malam kutipan dana DAP di Petaling Jaya, dilaporkan telah menggelar BN sebagai “pakatan rasuah”, dengan label yang sama diberikan kepada Bersatu, sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Pua berkata beliau berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa penglibatan Umno dan BN pada pilihan raya umum akan datang. – 24 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen