
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata beliau tidak perlu mengambil pendekatan keras seperti parti PAS untuk menarik pengundi negeri itu.
Sebaliknya, pendekatan lembut lebih sesuai untuk memikat hati pengundi muda negeri itu yang sudah terbiasa dengan cara keras dan bising diamalkan PAS dan BN selama hampir 60 tahun.
“Kalau kita buat pendekatan keras, marah-marah, haramkan itu ini, paksa orang itu cakap kita, orang akan tanya apa beza PAS dan PH?
“Jadi biar orang kata saya tidak nampak keras, pendekatan lembut ini berkesan untuk tarik minat pengundi yang dah matang politik.
“Anak muda dan mereka yang bukan taksub politik BN dan PAS akan terima kita dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu.
Raja Kamarul Bahrin, seorang arkitek berjaya yang popular sebagai pereka bangunan ikonik dalam negara dianggap sebagai “wajah baharu PAS” apabila menyertai parti itu pada 2013.
Beliau antara ahli parlimen PAS yang keluar parti beramai-ramai susulan pergolakan dalam parti itu pada 2015.
Kini beliau menjadi tumpuan ramai sebagai ketua PH di Terengganu dalam pilihan raya terbesar dalam sejarah negara ini.
Kajian daripada badan kajian berkait PKR, Invoke menyatakan PH mampu menewaskan PAS di kesemua kerusi yang dipegang parti Islam itu di Terengganu.
Beliau yakin dengan persediaan parti itu dan menganggap golongan majoriti senyap di negeri itu sudah pun terpikat dengan cara PH yang berbeza dengan PAS dan BN itu.
“Kita dah bertemu dan berjumpa dengan semua golongan yang boleh bersama dengan kita. Mereka bersama dengan kita sebab dah rasa bagaimana di bawah BN dan PAS.
“Orang Terengganu memang begini. Nampak senyap dan mereka hanya tunjukkan rasa bila pilihan raya seperti dulu,” katanya.
Beliau merujuk pada PRU 1999 dan 2004 di mana rakyat Terengganu menukar kerajaan sebanyak dua kali dengan mengundi dengan majoriti yang besar.

PAS pada 1999 menang 28 daripada 32 kerusi dan tewas pada 2004 dengan jumlah kerusi yang sama.
Beliau diberi tanggungjawab membawa PH untuk memecahkan dominasi PAS dan BN di negeri Pantai Timur itu.
Bagaimanapun, kepemimpinannya dikritik oleh kawan dan lawan kerana dilihat tidak mampu menyaingi bekas ketuanya, Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang juga ahli Parlimen Marang.
Di kalangan penyokong PAS, Raja Kamarul Bahrin yang juga ahli kerabat diraja negeri itu dipanggil “calon karpet merah” kerana bertanding tanpa perlu menyertai tarbiah atau berjuang daripada peringkat bawah parti Islam itu.
Beberapa pimpinan negeri yang ditemui The Malaysian Insight turut meluahkan perkara sama bagaimanapun menafikan ia menjadi krisis.
“Ya, dia baik. Kami masih boleh bercakap cuma sebagai ketua kita harap dia jadi lebih tegas dalam membuat beberapa keputusan,” kata seorang ahli jawatankuasa PH negeri yang enggan dinamakan.
Sementara itu, Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail, satu-satunya Adun PH di negeri itu berkata beliau tiada masalah dengan Raja Kamarul Bahrin.
Beliau turut menolak kritikan terhadap pemimpin Amanah itu merupakan satu krisis yang besar.
“Kita buat yang terbaik untuk PH dan rakyat negeri Terengganu,” katanya. – 25 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan