Lebih ramai saksi dipanggil beri keterangan kes saham media calon PM Thailand


Calon utama perdana menteri Thailand Pita Limjaroenrat sedang disiasat kerana memiliki 42,000 saham dalam syarikat televisyen yang telah ditutup, ITV Public Company. – Gambar AFP, 22 Jun 2023.

SURUHANJAYA Pilihan Raya Thailand (EC) akan memanggil lebih ramai saksi untuk memberi keterangan dalam siasatan mengenai Pita Limjaroenrat, calon utama perdana menteri yang bertanding dalam pilihan raya umum bulan lalu.

Pemimpin Parti Move Forward berusia 42 tahun itu sedang disiasat kerana memiliki 42,000 saham dalam syarikat televisyen yang telah ditutup, ITV Public Company.

Ahli EC, Thitichet Nuchanart berkata agensi pilihan raya akan memanggil Pita dan eksekutif-ekekutif ITV untuk disoal siasat.

“EC akan menyemak bukti-bukti termasuk rekod mesyuarat pemegang saham terkini ITV dan minit mesyuarat yang telah ditranskripsikan,” katanya.

Beliau menambah bahawa agensi pilihan raya akan mendapatkan maklumat mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh Pita dengan Suruhanjaya Anti-Rasuah Kebangsaan (NACC) untuk disiasat.

Sebelum ini, Pita menjelaskan bahawa saham-saham dalam iTV Plc didaftarkan atas namanya kerana mahkamah telah melantiknya sebagai pentadbir mewakili waris-waris yang lain dari mendiang bapanya yang meninggal dunia pada 2006.

Pada 6 Jun, Pita mengumumkan bahawa beliau telah memindahkan saham-sahamnya dalam iTV Plc kepada ahli waris lain sebagai usaha menghapuskan sebarang halangan dalam usahanya merebut jawatan perdana menteri. – Bernama, 22 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen