MIC minta Lokman Adam jangan biadab


Ravin Palanisamy

Dalam wawancara bersama Malaysia Gazette semalam, Pengarah Komunikasi Umno Lokman Noor Adamm menganggap MIC dan MCA umpama ‘biawak hidup’ dalam BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun 2023.

KENYATAAN Pengarah Komunikasi Umno Lokman Noor Adam yang menganggap MIC dan MCA umpama ‘biawak hidup’ sama sekali tidak boleh diterima kerana mengguris perasaan ahli-ahli dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, kata Thinalan Rajagopalu.

Ketua penerangan MIC itu berkata kenyataan Lokman dalam wawancara bersama Malaysia Gazette biadab, tidak tepat dan kurang rasional.

“Sejak 1952, MIC tidak pernah meminggirkan BN yang menjadi pengganti terus Parti Perikatan hingga kini.

“Jika berat sangat beban untuk memikul MIC, berbincanglah dengan presiden Umno dan bawakan satu resolusi untuk mengeluarkan MIC daripada BN. Jangan hanya untuk mendapat perhatian murahan, Datuk Lokman Adam ingin mengeluarkan kenyataan sinis,” kata Thinalan dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Lokman ketika ditemu bual dalam rancangan Skop MalaysiaGazette semalam mendakwa Umno seperti memikul biawak hidup komponen seperti MCA dan MIC, malah parti-parti itu tidak menyumbang kepada kemenangan BN sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Thinalan berkata kenyataan Lokman itu boleh mencetus keresahan dalam kalangan parti komponen BN.

“Kenyataan beliau satu cubaan untuk mengeruhkan air yang jernih. Tidakkah MIC dan MCA masih bersama BN kini?

“Adakah kami menuntut apa-apa jawatan hanya untuk mengekalkan sokongan kepada BN? Tidak ada satu jawatan pun yang diterima oleh MIC padahal Umno yang menerima semua jawatan kerajaan dan GLC ingin menunding jari kepada parti komponen.

“Sehingga 2007 kami telah menyumbang dengan penuh kepada BN sehingga beberapa tindakan Umno yang telah mengguris sentimen masyarakat India,” katanya.

Kata Thinalan lagi, MIC dilabel sebagai hamba Umno, dan Umno juga tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memperbetulkan keadaan sehingga Najib Razak menjadi perdana menteri.

“Pelbagai masalah yang dipinggirkan oleh kerajaan mencapai penyelesaian pada masa tersebut.

“Datuk Lokman harus faham bahawa bagi MIC dan MCA, BN adalah keluarga kita,” katanya.

Namun tambahnya, apalah yang hendak diharapkan dari ‘katak’ seperti Lokman untuk memahami erti kekeluargaan.

“Memang susah untuk kami mengharapkan ikatan kekeluargaan yang sama daripada kamu yang merupakan bekas ahli PKR yang dipecat.

“Biar baik atau buruk senario politik yang dihadapi BN, kami sentiasa tetap berdiri teguh bersama Umno dan MCA serta rakan parti komponen yang lain, dan tidak melompat bagai katak seperti Datuk Lokman Adam.

“Saya hanya boleh berharap bahawa Datuk Lokman Adam kekal jelas mengenai sejarah BN yang memang susah bagi katak politik untuk memahami dan komitmen parti komponen serta daripada membuang masa mengeluarkan kenyataan yang kurang bertanggungjawab, lebih baik kita bersatu teguh,” katanya. – 21 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen