Segera maklum SPR tarikh bubar DUN, Bersih beritahu kerajaan negeri


Ravin Palanisamy

Pengumuman tarikh pilihan raya yang lebih awal dapat memudahkan perancangan semua pihak yang terlibat, kata Bersih. – Gambar EPA, 21 Jun 2023.

KETIDAKTENTUAN tarikh pilihan raya negeri (PRN) akan datang merunsingkan orang ramai dan perniagaan yang sedang ternanti-nanti pengumuman hari untuk mengundi, kata Bersih.

Badan pemantau pilihan raya itu berkata beberapa menteri besar/ketua menteri yang telah pun menghadap Sultan/Yang di-Pertua Negeri untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, namun masih ada yang belum memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang tarikh pembubaran.

“Bersih menyeru agar semua negeri bertindak secara bertanggungjawab dengan memaklumkan secara rasmi kepada SPR tarikh pembubaran yang dirancang, sama ada secara automatik dengan penggenapan penggal atau lebih awal dengan perkenan Istana.

“Ini membolehkan SPR untuk menentukan tarikh penamaan dan hari pengundian segera kerana SPR tidak perlu menunggu pembubaran berlaku, sebaliknya hanya memerlukan makluman rasmi daripada kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pengumuman tarikh pilihan raya yang lebih awal dapat memudahkan perancangan semua pihak yang terlibat seperti petugas dan pegawai pilihan raya, parti-parti politik, pasukan keselamatan serta pelbagai perniagaan, dan paling utama adalah para pengundi.

“Agar mereka dapat merancang jadual aktiviti dengan lebih baik untuk mengundi dalam pilihan raya.”

Kelantan minggu lalu umum DUN Penggal ke-14 negeri itu akan dibubarkan esok, 22 Jun.

Manakala Isnin lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan DUN Selangor dibubarkan berkuat kuasa Jumaat ini (23 Jun) bagi memberi laluan kepada PRN.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula dijadual menghadap Yang di-Pertua Negeri pada 27 Jun bagi mendapat perkenan untuk membubarkan DUN pada 28 Jun.

Sementara itu Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun semalam dilapor media sebagai berkata beliau akan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 28 Jun ini bagi mendapat perkenan baginda untuk membubarkan DUN pada 30 Jun.

Terengganu dan Kedah masih belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing. Penggal DUN Terengganu secara automatik tamat pada 30 Jun, sementara Kedah pada 4 Julai. – 21 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen