Krisis moral Umno dan natijahnya dalam PRN


Ruhan Shahrir

Kekuatan Umno dan kepercayaan orang Melayu khususnya kepada Umno sangat diperlukan untuk kestabilan kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2023.

UMNO masih terperangkap di dalam budaya budi dan setia kepada ketua de facto parti itu, Najib Razak. 

Berdasarkan kepada apa yang berlaku pada Perhimpunan Agungnya (PAU) yang lepas, Umno nampaknya terus dibayangi oleh Najib.

Sosok ini disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana SRC International sebanyak RM42 juta oleh mahkamah tertinggi Malaysia namun masih terus dituntut oleh Umno untuk dibebaskan segera.  

Di satu sisi Umno sedang mempergunakan kedudukannya sebagai sebahagian daripada komponen parti yang berkuasa dalam kerajaan perpaduan untuk menggesa individu di koridor kuasa (baca: Anwar Ibrahim) supaya mempermudahkan proses pengampunan Najib agar beliau dapat dibebaskan segera.

Dengan kata lain kedudukan Umno yang dianggap sebagai penentu sama ada kerajaan perpaduan berdiri atau tumbang dijadikan sarana untuk menuntut pembebasan Najib menerusi proses pengampunan diraja.

Manakala di satu sisi lain pula ia menunjukkan Umno sedang bergelut dengan suatu krisis moral yang parah.

Kompas moral Umno sudah terpesong jauh daripada cita-cita mereka untuk mengubah Umno menjadi sebuah institusi politik Melayu yang bersih, berwibawa dan diyakini oleh orang Melayu, khususnya setelah Umno tewas pilihan raya umum 2018.

Pertimbangan betul-salah, baik-buruk kelihatannya tidak lagi menjadi anutan yang memandu tindakan serta pendirian politik Umno.

Ini tentunya akan memberi kesan bukan sahaja kepada wibawa Umno sebagai sebuah institusi politik terbesar orang Melayu tetapi juga turut mengheret rakan kerjasamanya PH di dalam kancah ketidaktentuan untuk menghadapi PRN15 yang akan berlangsung tidak lama lagi jika naratif bebaskan Najib terus dikumandangkan.

Mengangkat naratif bebaskan Najib tentunya hak Umno. Tiada siapa yang boleh melarangnya. Tidak juga PH.

Malah parti Amanah, salah satu parti komponen yang membentuk PH, terpaksa memohon maaf kepada Umno apabila gesaan pengarah komunikasinya, Khalid Samad supaya Najib tidak diberi pengampunan diraja mengundang kemarahan Umno.

Tetapi hak eksklusif Umno itu bukan terpahat di perlembagaan parti. Justeru ia boleh dikritik bukan untuk menjatuhkan tetapi supaya Umno kembali kuat dan menjadi pilihan pertama pengundi baik Melayu, mahu pun bukan Melayu, di kawasan-kawasan yang ditandinginya di PRN nanti.

Kekuatan Umno dan kepercayaan orang Melayu khususnya kepada Umno sangat diperlukan untuk kestabilan kerajaan perpaduan. 

Sebuah parti teras Melayu yang lemah di dalam kerajaan perpaduan hanya akan menyebabkan kerajaan perpaduan terdedah kepada ancaman dan ketidakstabilan.

Apakah benar hanya dengan pembebasan Najib semata-mata, maka Umno akan kembali kuat, kembali mendapat kepercayaan daripada sebahagian besar orang Melayu?

Apakah dengan pembebasan Najib yang sudah tersabit dengan kesalah penyelewengan sahaja yang dapat memenangkan Umno dalam PRN? 

Saya teramat musykil kerana skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najiblah antara sebab yang akhirnya mengakibatkan Umno tumbang di PRU14 setelah 60 tahun berkuasa.

Sebenarnya sukar untuk dimengertikan kemunasabahan baik secara moralnya mahu pun secara politiknya naratif bebaskan Najib tersebut.

Jika Pemuda Umno memainkan naratif “DAP perlu minta maaf”, ia masih lagi munasabah khususnya untuk meredakan kemarahan sebahagian daripada orang Melayu.

Sesetengah orang Melayu masih melihat DAP sebagai musuh dan penghalang kepada cita-cita nasionalisme Melayu yang menjadi ideologi Umno.

Ia munasabah diajukan dalam kerangka untuk meraih semula kepercayaan pengundi-pengundi Melayu buat mereka pada PRN nanti. 

Jika DAP sanggup untuk memohon maaf kepada GPS kenapa tidak dengan Umno? Dari sudut tersebut, ia ada munasabahnya walaupun tidak semestinya wajar.

Namun apa yang munasabahnya dalam naratif bebaskan Najib yang digemakan oleh hampir keseluruhan perwakilan Umno dari kepimpinan bawah hingga atas pada PAU yang lepas?

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/448118

Tidakkah Umno sedar bahawa Najib sudah pun dibuktikan bersalah oleh mahkamah tertinggi Malaysia?

Belum sedarkah lagi Umno bahawa kehilangan kepercayaan orang Melayu kepada Umno adalah kerana kes-kes rasuah, salah guna kuasa, korup dan penyelewengan yang terpalit pada batang tubuh kepimpinannya?

Dalam konteks ini ramai akan menuding jari kepada sosok Presiden Umno Zahid Hamidi sendiri. 

Tetapi pada hemat saya seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di akhir proses mahkamah.

Kes Zahid Hamidi masih di peringkat perbicaraan. Dakwaan semata-mata tidak membuktikan seseorang itu bersalah. Perlu dibezakan antara andaian bersalah dengan terbukti bersalah.

Ini jauh berbeza dengan kes Najib yang sudah pun dibuktikan bersalah menyeleweng dana sebanyak RM42 juta setelah semua proses mahkamah berakhir dengan dijatuhkan pula hukuman penjara selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.

Mendesak supaya Najib diberikan pengampunan segera dengan beliau sendiri belum pun menjalani 10 peratus daripada hukuman penjara adalah sesuatu yang mencerminkan betapa Umno sedang berhadapan dengan suatu krisis moral yang sangat parah.

Tuntutan yang sedemikian rupa bukan hanya mempersendakan mahkamah yang menjatuhkan hukuman tetapi juga suatu penghinaan kepada keluhuran undang-undang yang menjadi ideologi Malaysia yang termaktub dalam Rukun Negara.

Krisis moral Umno itu tidak hanya digeluti oleh Umno semata-mata tetapi turut menyeret PH bersama-samanya kerana PH adalah juga rakan kerjasama Umno yang utama di dalam kerajaan perpaduan.

Naratif korupsi dan penyelewengan yang dilakukan oleh Najib menerusi 1MDB adalah naratif yang paling dimanfaatkan oleh semua parti komponen yang membentuk PH di sepanjang kes tersebut terbongkar.

Malahan tidak keterlaluan untuk saya katakan salah satu punca kepada kekalahan Umno pada PRU 2018 adalah kerana kes 1MDB yang melibatkan Najib sendiri.

Kes ini dipropagandakan dengan meluas oleh PH kepada pengundi yang menyokong mereka dan juga yang berada di atas pagar.

Justeru, bagaimana PKR, Amanah dan DAP akan menjawab kepada akar umbi, penyokong dan pengundi atas pagar dalam PRN15 nanti berkenaan naratif bebaskan Najib yang dikumandangkan oleh Umno itu? Rumit! Bersilat lidah sehalus mana sekalipun PH takkan dapat memunasabahkan tuntutan Umno tersebut.

Saya tidak hairan sekiranya ada akar umbi dan penyokong PH yang mengambil keputusan untuk memboikot PRN atau menyatakan protes terhadap Umno dan calon daripada parti mereka sendiri jika sekiranya Umno terus menggemakan naratif bebaskan Najib.

Tidak juga menghairankan jika pengundi atas pagar turut melihat naratif bebaskan Najib yang diangkat oleh Umno itu sebagai suatu bentuk kemunafikan politik baik oleh Umno mahu pun PH yang terseret sama sebagai rakan kerjasama politik Umno.

Tidak menghairannya jika pengundi atas pagar ini memberikan undi mereka kepada PN yang dilihat lebih bersih.

Krisis moral Umno tersebut memerlukan tekad politik yang teguh dan wawasan masa depan yang jelas serta bebas daripada sosok kepimpinan yang sudah terbukti bersalah oleh mahkamah. Hanya Umno yang mampu membetulkan kembali kompas moralnya yang sudah terpesong jauh itu.

Langkah pertama yang boleh dilakukan oleh Umno adalah dengan membebaskan dirinya daripada bayang-bayang Najib.

Jika naratif bebaskan Najib masih terus digemakan, bukan hanya Umno yang akan karam pada PRN nanti, PH dan kerajaan perpaduan sendiri pun akan turut tenggelam bersama-sama.  – 21 Jun, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen