Pertindihan kerusi Pakatan-BN akan selesai cara baik, kata Fahmi


Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil tidak mendedahkan kerusi DUN mana yang menjadi pertindihan antara PH dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun 2023.

RUNDINGAN antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi memuktamadkan pertindihan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan diselesaikan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat.

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata perkara itu tidak menjadi satu isu kerana beliau yakin soal pertindihan kerusi antara dua gabungan itu akan diselesaikan secara baik.

“Rundingan akan dilakukan secara dalaman, seterusnya apabila ada keputusan (baki sembilan kerusi) itu yang mana (kerusi) untuk PH dan BN, maka mereka (BN) bebas buat keputusan untuk meletakkan mana-mana parti komponen di kerusi berkenaan, begitu juga PH untuk meletakkan mana-mana rakan parti gabungan,” katanya.

Menteri komunikasi dan digital itu ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar ConnectASIA 2023 di Royale Chulan Damansara hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Kamil Othman.

Fahmi bagaimanapun tidak mendedahkan kerusi DUN mana yang menjadi pertindihan antara PH dan BN.

Ahad lepas Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi telah selesai di peringkat Jawatankuasa Perundingan BN-PH, namun terdapat pertindihan di sembilan daripada sejumlah 245 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Enam negeri yang akan berhadapan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu mengulas dakwaan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa kerajaan perpaduan yang mentadbir Putrajaya ketika ini akan tergugat dan tidak mustahil untuk jatuh sekiranya keputusan PRN di enam negeri memihak kepada Perikatan Nasional, Fahmi menyifatkan ia satu kenyataan yang melanggar titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Sultan Johor dah bertitah, sudah-sudahlah itu (berpolitik). Sebagai orang lama, pemimpin kanan parti, tidak molek beliau berkata begitu, kecuali jika Tuan Ibrahim berhasrat untuk derhaka titah itu lah.

“Lagipun beberapa pemimpin juga sebelum ini dah cakap, saya ulang, ini ialah PRN, apa-apa keputusan di dalam PRN tidak akan memberi kesan kepada sebarang kerusi di peringkat persekutuan,” katanya. – Bernama, 20 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen