Malaysia tetap tidak tambat ringgit, kata Ahmad Maslan


Ravin Palanisamy

Ringgit tidak akan ditambat kepada dolar AS kerana akan menyebabkan Malaysia hilang keupayaan untuk menguruskan dasar monetarinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2023.

PUTRAJAYA tidak akan menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat seperti yang berlaku semasa krisis kewangan Asia pada 1998, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan kepada Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata sebarang langkah untuk menambat mata wang itu akan menyebabkan Malaysia hilang keupayaan untuk menguruskan dasar monetarinya sekali gus berpotensi membawa kepada peningkatan lagi dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“OPR semasa kita ialah 3% dan OPR di AS ialah 5.25%.

“Jika kita menambat nilai Ringgit RM3.80 kepada satu dolar AS, maka OPR kita perlu dinaikkan kepada 5.25%.

“Alangkan OPR kita pada 3.00 peratus rakyat sudah rasa amat tidak selesa, ini kan pulak (jika) dinaikkan kepada 5.25 peratus,” kata ahli Parlimen Pontian itu pada sesi pertanyaan. 

Bulan lepas, Bank Negara Malaysia meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas, menjajarkannya semula dengan paras pra-pandemi pada 3%.

Ahmad menjawab soalan Shamsuddin Abd Ghaffar yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar AS seperti yang dilakukan pada 1998.

Ahmad berkata Malaysia akan hilang kebebasannya untuk melaksanakan dasar monetarinya sendiri jika ia menambat mata wang tempatan.

“Satu lagi keburukan (menambat ringgit), kawalan aliran modal tidak akan bebas kerana keluar masuk pelaburan asing ke dalam negara kita akan dikawal. Apabila kita tambat nilai ringgit, maka ini menjejaskan keyakinan dan daya saing negara,” katanya.

Pada 1998 semasa krisis kewangan Asia, Malaysia menambat ringgit 3.80 kepada dolar AS dalam usaha untuk melindungi ekonomi dan memulihkan kestabilan kewangan. – 20 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen