Amirudin yakin pentadbiran semasa kerajaan negeri dapat dipertahankan pada PRN


PH Selangor yakin kemampuannya untuk mempertahankan negeri itu pada PRN akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2023.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari yakin bahawa prestasi dan kekukuhan pentadbiran kerajaan negeri yang ditonjolkan Pakatan Harapan (PH) mampu membantu mereka mempertahankan pentadbiran semasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. 

Beliau yang juga pengerusi PH Selangor berkata sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran, tiada isu besar dibangkitkan dalam kalangan komponen parti di peringkat negeri, sekali gus menunjukkan pentadbiran negeri kukuh.

“Tidak mustahil kita mengulangi kejayaan 2018 (PRU14) dengan kemenangan lebih 50 kerusi. Setakat ini, kita sangat positif dan yakin. Insya-Allah boleh kekal (pentadbiran) dengan majoriti dua pertiga,” katanya dalam sidang media khas sempena lima tahun pentadbirannya, di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun katanya PH Selangor tidak akan memandang rendah usaha dan impian Perikatan Nasional (PN) yang mahu merampas negeri itu pada PRN kelak.  

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini memberi perkenan untuk DUN Selangor dibubarkan berkuat kuasa Jumaat ini (23 Jun) bagi memberi laluan kepada PRN.

Sementara itu Amirudin berkata beliau dan barisan exco akan bertindak sebagai kerajaan sementara (caretaker goverment) selepas DUN dibubarkan Jumaat ini sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN kelak. – Bernama, 19 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen