Barisan Nasional masih bergelut raih ‘nambikei’ komuniti India


Sheridan Mahavera

Trend pengundian komuniti India dikatakan sukar dijangka, walaupun pelbagai dasar diperkenalkan Barisan Nasional, pengalaman perit dipinggirkan selama ini menyebabkan mereka mungkin terus mengundi Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2018.

PENGANALISIS percaya ahli politik berketurunan India pembangkang dipandang tinggi oleh belia dan penduduk bandar India dan faktor inilah yang menghalang Barisan Nasional daripada memperolehi kembali “nambikei” (kepercayaan) komuniti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mereka mengakui wujud keterujaan apabila pentadbiran Najib Razak mengumumkan dasar mensasarkan komuniti India termasuklah Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) tetapi turut menegaskan yang pemimpin India dalam PKR dan DAP dianggap jaguh komuniti itu.

Jadi persoalan utama adalah: adakah populariti personaliti pemimpin pembangkang mengatasi dasar kerajaan BN yang menyasarkan komuniti India?

Beberapa penganalisis percaya yang 60% hingga 65% pengundi India berjumlah 1.1 juta berkemungkinan akan mengundi seperti mana PRU13- untuk DAP dan PKR.

Tetapi ada juga yang percaya berdasarkan trend PRU13 dan PRU12 pada 2008, pengundi India sebenarnya perlahan-lahan pulang ke pangkuan BN dan gabungan pemerintah berupaya meraih antara 45%-50% sokongan komuniti itu pada PRU14.

Keupayaan BN untuk memisahkan jasanya kepada komuniti India berbanding kerja yang dilakukan PH akan mewujudkan perbezaan, kata Profesor Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM).

“Penduduk India di bandar, kelas menengah dan belia India mungkin masih menyokong pembangkang. Apa yang banyak dilakukan BN adalah disasarkan kepada kumpulan B40,” katanya lagi.

Pembangkang “cool”

Dr Anantha Raman Govindasamy dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) percaya sehingga 65% pengundi India berkemungkinan besar mengundi PH.

Punca kepada trend ini termasuklah masalah kepercayaan komuniti India terhadap BN dan budaya popular belia India yang mengundi PH.

“Bagi belia India ia sebenarnya ‘cool’ untuk undi parti pembangkang,” kata Anantha, pensyarah kanan sains politik.

Malah, wakil rakyat India daripada DAP dan PKR dilihat melakukan kerja dengan baik, katanya lagi.

“Tidak seperti dahulu, komuniti sekarang ada parti politik lain selain MIC untuk jaga kebajikan dan kepentingan mereka.”

99.5% daripada hampir sejuta pengundi India tinggal di sembilan negeri Malaysia Barat iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.

Komuniti itu membentuk 10% daripada jumlah pengundi di 70 kerusi Parlimen, manakala di 11 kerusi lagi mereka membentuk 20% jumlah pengundi.

Anantha berkata 60% orang India boleh dikategorikan sebagai kelas pekerja atau miskin, 30% adalah kelas menengah, manakala 10% lagi masih tinggal di ladang.

Lima tahun lalu, MIC hanya menang tiga kerusi- Tapah, Segamat dan Hulu Selangor- daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Ia juga hanya menang lima kerusi negeri, masing-masing satu di Melaka dan Negeri Sembilan dan tiga di Johor. – 24 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen