PEMIMPIN Umno Kedah, Latt Shariman Abdullah yakin bahawa asakan Dr Mahathir Mohamad tidak akan menumbang Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Bekas ketua Umno Bahagian Kuala Kedah itu berkata, seramai 1.2 juta pengundi di negeri tersebut akan menolak Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir yang menurutnya kini tidak stabil.
“Kedah tidak akan tumbang, sebab kita kena ingat orang Kedah ini nak apa, saya boleh boleh katakan mereka mahukan kestabilan,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Kedah.
Malah keyakinan rakyat terhadap BN di negeri itu masih utuh kerana kepimpinan kerajaan negeri yang kini diterajui Menteri Besar Ahmad Bashah Md Hanifah telah memberi insipirasi.
“Ahmad Bashah ini walau beliau tak nampak begitu trampil macam Mukhriz Mahathir tapi beliau memberi inspirasi.
“Beliau bekerja, tapi cara beliau macam orang lama, lebih tenang dan buat kerja senyap-senyap. Beliau tidak terlalu menghebahkan setiap perkara yang beliau lakukan, tapi perancangan itu memang ada,” katanya.
Latt Shariman diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin PH yang yakin bahawa pengaruh Dr Mahathir akan menyebabkan Kedah tumbang.
Kenyataan pemimpin PH itu juga selari dengan jangkaan ramai penganalisis politik yang turut meramalkan peralihan sokongan dan undi protes dari kalangan rakyat Kedah.
Bertanding di Kedah?
Bekas pegawai tugas-tugas khas perdana menteri itu juga disebut-sebut sebagai calon BN untuk bertanding di Kedah dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini memandangkan nama beliau disebut dalam senarai pendek calon BN Kedah untuk kerusi DUN yang dikatakan dihantar kepada Perdana Menteri Najib Razak.
Senarai tersebut yang didakwa dikemukakan kepada perdana menteri tersebar di media sosial sejak Februari.

Latt Shariman kali terakhir menjadi calon dalam PRU13 di kerusi DUN Kubang Rotan dalam pertandingan yang menyaksikan beliau kalah kepada calon PAS, Mohd Nasir Mustafa.
Bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar itu berkata, beliau sememangnya seorang anak jati negeri Kedah.
“Yang pasti saya bukan calon payung terjun, malah saya lebih asal (Kedah) daripada calon yang ada sekarang,” katanya.
Katanya sifat pemimpin yang ada dalam dirinya adalah hasil didikan kolej berprestij itu, katanya.
Menceritakan pembabitan awalnya dalam dunia politik, Latt berkata ia bemula apabila beliau menjadi setiausaha politik menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Mohd Efendi Norwawi, antara 2006 hingga 2008.
Katanya, Efendi bertanggungjawab menyakinkannya dan mengajar selok belok dalam dunia politik.
“Saya mula politik ini agak lambat, memang masa itu saya tidak ada jawatan dalam Umno.
“Tapi yang bagi peluang ini adalah Efendi. Beliau dulu sangat minat dengan datuk saudara saya,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman.
“Dan dari situ saya belajar. Kita fokus, beliau membina negara dan saya tumpukan pada kerja politiknya.”

Beliau seterusnya dilantik menjadi ketua bahagian Umno pada usia 39 tahun, menjadikannya ketua bahagian paling muda dalam sejarah parti itu.
“Sekarang saya tahu sebab apa saya dapat jadi ketua bahagian ketika itu. Sebab Umno ini sebuah organisasi yang membenarkan kita untuk buat perubahan.
“Kalau DAP mereka tak boleh buat macam itu, PAS lagilah ada hirarkinya. Tapi Umno memang terima perubahan.”
Bantu rakyat tangani isu sara hidup
Ditanya mengenai kebimbangan rakyat mengenai kos sara hidup, Latt Shariman berkata kerajaan kerajaan telah melakukan perkara terbaik untuk menangani masalah itu.
Beliau menyebut bahawa tindakan kerajaan untuk mengatasi isu perumahan dan juga melalui, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tidak dapat membantu semua golongan.
Namun bantuan kepada rakyat itu tidak harus dilihat pada pemberian atau insentif namun melalui dasar dan polisi yang dilaksanakan, katanya.
“Ya memang kerajaan tidak sempurna tapi kerajaan telah melakukan yang terbaik,” kata Latt Shariman lagi yang pernah berkhidmat di unit perancang ekonomi. – 24 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nordin KCD · Ulasan