BEKAS pengerusi BN Selangor Noh Omar berkata beliau tidak bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau sebaliknya berkata akan berusaha keras membantu memastikan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Selangor dalam PRN nanti.
“Saya tidak bertanding dalam PRN nanti, rasa cukuplah setakat ini dan mahu beri peluang kepada muka baharu kerana di Selangor sendiri ramai tokoh muda berwibawa boleh diketengahkan.
“Bagaimanapun, saya akan menyertai kempen meneruskan misi menewaskan Pakatan Harapan di Selangor, misi yang bermula sejak BN kehilangan negeri itu pada 2008,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Noh adalah antara beberapa ahli Umno yang dipecat daripada parti itu bersama Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa.
Hanya Noh dan Annuar yang secara rasmi mengisytiharkan mereka menyokong PN.
Noh ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran jentera PN dan kempen Selangor Baharu di Pusat Konvensyen Bangi malam tadi berkata PN mempunyai peluang cerah untuk memenangi Selangor kerana tidak mungkin terdapat pertandingan pelbagai penjuru dalam PRN akan datang.
“Sebab itulah semasa menjadi Pengerusi Perhubungan Umno dulu, saya beritahu pucuk pimpinan supaya memastikan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru di Selangor iaitu antara BN, PH dan Pas kerana ia akan merugikan parti,” katanya. – 18 Jun, 2023.
Komen