BERSATU akan menyediakan semua maklumat dan dokumen diperlukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Bersatu diperlukan untuk menghantar minit mesyuarat cawangan dan bahagian parti serta laporan kewangan kepada RoS menurut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.
“Notis itu dikeluarkan pada 28 Februari, tetapi kami terima surat itu pada 7 Mac,” kata Muhyiddin pada sidang media di Johor Bahru hari ini.
“Jadi setiausaha agung (Dr Shahruddin Md Salleh) kami sudah menghantar surat kepada RoS bertanyakan bilakah tarikh akhir penghantaran,” katanya.
Muhyiddin berkata parti masih dalam proses memuktamadkan jumlah ahli dan laporan mesyuarat agung tahunan. Parti itu sudah menyiapkan laporan audit untuk 2016, tetapi laporan 2017 masih dalam proses.
“Ada beberapa perkara yang memerlukan penjelasan. Bersatu akan mematuhi apa yang diperlukan dan kami akan beri maklumat dalam tempoh 30 hari. Masih ada masa.
“Kami tiada isu, tetapi ada syarat yang tidak jelas. Misalnya, RoS kata mereka terima banyak aduan. Kami sudah hantar surat kepada RoS untuk salinan aduan itu.
“Kami perlu dimaklumkan apakah aduan itu, supaya Bersatu boleh ambil tindakan sewajarnya. Kami tidak melanggar mana-mana undang-undang dan kami tak pasti apa yang dikatakan kepada kami. Bagi kami, ia tidak adil,” katanya.
Ketua Pengarah Bersatu Surayati Ibrahim mengatakan sekiranya Bersatu gagal memenuhi permintaan agensi itu, RoS akan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan untuk mengeluarkan arahan membubarkan parti itu.
Semalam, Surayati juga mengesahkan pendaftaran Pakatan Harapan tertangguh kerana siasatan ke atas Bersatu masih dijalankan.
Bersatu adalah salah sebuah parti dalam gabungan pembangkang itu yang turut disertai PKR, DAP dan Amanah.
Agensi itu melancarkan siasatan ke atas parti itu bulan lepas susulan aduan mendakwa mesyuarat agung tahunannya yang diadakan tahun lepas melanggar perlembagaan parti. – 24 Mac, 2018.
Komen