JEPUN mengeluarkan 1.29 juta visa kepada warga asing pada 2022, peningkatan sekitar 14 kali ganda berbanding tahun sebelumnya selepas negara itu menamatkan langkah kawalan sempadan Covid-19.
Walaupun jumlah itu masih jauh daripada rekod tertinggi pra-pandemik iaitu 8.28 juta pada 2019, ia menandakan peningkatan pertama dalam tempoh tiga tahun selepas kelonggaran kawalan sempadan berkaitan Covid-19 dilaksanakan bermula April lalu, menurut Kementerian Luar pada Jumaat.
Xinhua melaporkan jumlah visa yang dikeluarkan untuk memasuki Jepun menurun secara mendadak ketika wabak itu melanda, jatuh kepada 1.12 juta pada 2020 dan menurun kepada 90,306 pada 2021, angka terendah sejak 1999.
Pada 2022, sebanyak 186,577 visa atau 14 % daripada jumlah keseluruhan dikeluarkan di China, diikuti oleh Vietnam dengan 177,329, Filipina dengan 134,607, Korea Selatan dengan 104,937, Indonesia dengan 92,663 dan Amerika Syarikat sebanyak 88,557. – Bernama, 17 Jun, 2023.
Komen