SPRM siasat pembabitan pemimpin politik dalam judi dalam talian


Alfian Z.M. Tahir

Kata Saifuddin, sindiket perjudian dalam talian dilindungi oleh ahli politik yang mendapat manfaat daripadanya. – Gambar AFP, 17 Jun, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula menjalankan siasatan dakwaan pembabitan pemimpin politik dalam melindungi kegiatan perjudian dalam talian.

Dalam satu kenyataan, agensi itu berkata siasatan dijalankan berdasarkan maklumat diterima dan dikongsi dengan pihak polis.

“SPRM tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat naungan politik adalah halangan terbesar dihadapi bagi mengambil tindakan terhadap sindiket perjudian dalam talian.

Katanya, sindiket itu dilindungi oleh ahli politik yang mendapat manfaat daripadanya.

“Ya, memang wujud elemen naungan politik ke atas players (pengendali platform perjudian dalam talian) ini.

“Dari situ datang pengaruh dan perlindungan, korupsi dan rasuah, (oleh itu) wujud kehendak politik untuk mengada dan membaharui tekad memerangi habis-habisan.

“Pusingannya adalah ‘players’ dinaungi dan dia membalas (jasa) tuan politik. Tuan politik melindungi dia supaya tindakan tidak diambil. Contohnya, maklumat dibocorkan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dari 2021 hingga May 2023, sebanyak 2,119 laman web perjudian sudah disekat.

Semalam, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis bekerjasama dengan SPRM berkongsi maklumat bagi menentusahkan aktiviti judi dalam talian yang melibatkan pihak politik.

“PDRM mengulangi komitmen tidak akan membiarkan kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah yang diambil adalah berteraskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi. – 17 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen