Kenapa Umno masih gemakan naratif bebaskan Najib?


Ruhan Shahrir

Kemenangan Umno di PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai pada 2018 dan 2019, dikaitkan kepada faktor Najib Razak yang begitu popular dengan jenama “Bossku” pada masa itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2023.

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) sudah pun melabuhkan tirainya. Naratif bebaskan Najib adalah antara agenda utama yang diangkat oleh para perwakilan termasuklah presiden parti, yang juga Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Naratif bebaskan Najib ini pasti mengundang satu lagi kerumitan buat hubungan Umno-PH dalam mendepani cabaran PRN yang akan berlangsung tak lama lagi.

Namun persoalannya ialah kenapa Najib sebagai sosok yang sudah pun disabitkan kesalahannya oleh mahkamah tertinggi negara di dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International, masih diangkat oleh Umno?

Budaya setia kepada ketua

Budaya setia kepada ketua adalah sebahagian daripada nilai yang relatifnya dominan di dalam psikologi politik Melayu. Pastinya dalam budaya tersebut akan ada penentangan yang berlaku tetapi yang menentang cenderung disisihkan.

Hikayat Hang Tuah misalnya memerikan bagaimana Hang Jebat disisihkan apabila menderhaka kepada sultan ratusan tahun dahulu. Yang diangkat sebagai hero di dalam hikayat tersebut adalah Tuah yang setia bukan Jebat yang menderhaka walaupun penentangan Jebat itu adalah suatu bentuk penentangan terhadap kezaliman yang dilakukan oleh ketuanya.

Budaya setia kepada ketua itu terus dizahirkan di dalam politik moden bangsa Melayu menerusi Umno dan parti-parti Melayu yang lainnya. Pada 1969 Mahathir dipecat keanggotaannya daripada Umno apabila beliau secara terbuka mengkritik, presiden Umno Tunku Abdul Rahman.

Begitu juga kemudiannya Tengku Razaleigh Hamzah terpaksa menubuhkan parti baru yakni Semangat 46 apabila beliau tewas dalam pemilihan Presiden Umno melawan Mahathir pada 1986.

Selanjutnya Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Anwar turut terpecat, malahan dipenjarakan menerusi kes yang ramai menganggap sebagai “konspirasi politik” setelah beliau memilih untuk melakukan penentangan terhadap Mahathir pada 1998.

Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal pula memilih parti baru untuk meneruskan perjuangan politik mereka setelah usaha mereka menjatuhkan Presiden Umno Najib Razak gagal disempurnakan.

Begitu juga dengan sebuah lagi parti Melayu beraliran Islam yakni PAS. Di sepanjang sejarah PAS sejak ia ditubuhkan pada 1951, pertandingan untuk jawatan Presiden PAS hanya dua kali sahaja berlaku.

Pertama ketika Burhanuddin al-Helmy dicabar oleh Zulkifli Muhammad pada Muktamar PAS kelima pada 1956 dan ketika Hadi Awang dicabar oleh Ahmad Awang pada Muktamar PAS ke-61 pada 2015.

Terdapat jarak selama 60 tahun tanpa pertandingan sehinggalah Ahmad Awang mencabar Hadi Awang. Di kedua-dua pertandingan itu, yang mencabar ketua tewas.

Malahan [residen PAS sekarang, Hadi Awang adalah sosok paling lama memegang jawatan presiden di antara parti Melayu, yakni selama 21 tahun dan masih terus menjadi presiden PAS sejak beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Fadzil Noor pada 2002.

Budaya yang sama juga tidak terkecuali di dalam tubuh dua lagi parti berkepimpinan Melayu di dalam PH yakni PKR dan Amanah. PKR turut menampilkan ciri budaya setia kepada ketua apabila jawatan presiden sama ada di era Wan Azizah mahu Anwar Ibrahim, tidak pernah dipertandingkan.

Di waktu Azmin Ali, bekas timbalan presiden PKR melakukan penentangan terhadap Anwar Ibrahim, tersebar pula video intim sosok lelaki mirip wajah beliau di sebuah bilik hotel di Sandakan. Azmin pada akhirnya tersisih dan dipecat daripada PKR.

Parti Amanah pula masih terlalu baru untuk kita menilainya dalam konteks budaya setia kepada ketua, sungguhpun Mohamad Sabu kekal sebagai presiden Amanah sehingga sekarang tanpa sebarang pertandingan sejak daripada penubuhannya pada 2015.

Dalam konteks ini Umno kelihatannya lebih dinamik kerana di sepanjang sejarahnya terdapat empat kali jawatan presiden dipertandingkan – Tunku Abdul Rahman ditentang Ahmad Fuad, Tun Hussein Onn ditentang Sulaiman Palestin, Mahathir ditentang Tengku Razaleigh dan yang terbaru Zahid Hamidi ditentang Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh.

Namun semua yang memilih untuk menentang presiden parti, tewas.

Berdasarkan pemetaan ringkas yang dilakukan di atas, tidak keterlaluan untuk saya rumuskan budaya politik Melayu umumnya cenderung setia kepada ketua.

Mana-mana pemimpin yang tidak setia kepada ketua akan menghadapi laluan sukar untuk memajukan karier politik mereka di dalam parti. Malahan ketidaksetiaan bukan hanya bisa menggoncangkan tetapi juga memecahkan persatuan politik Melayu.

Oleh kerana itu politik Melayu lebih cenderung kepada proses penggiliran ketua yang tertib mengikut aturan dan susunannya yang ditentukan dan bukan menerusi penentangan. Kesetiaan dipercayai sebagai salah satu nilai yang dapat memastikan bahtera yang dilayari selamat dan tidak karam.

Ketidaksetiaan akan menghasilkan konflik sepertimana yang terjadi di dalam Hikayat Hang Tuah yang pada akhirnya menghuru-hara dan memecah-belahkan kerajaan Melayu Melaka yang terbilang itu.

Peribahasa sebagai cerminan nilai setia

Manakala peribahasa Melayu sebagai suatu sumber budaya lisan yang menjadi penata kepada nilai Melayu dan kemelayuan sejak ratusan tahun dahulu mengungkapkannya dalam bentuk “langkah bendul” sebagai suatu penetapan batas di dalam sesuatu tindakan tersebut.

Dengan kata lain sesuatu itu harus mengikut tertib dan aturannya bukan dilangkah susun aturnya yang sudah pun ditetapkan oleh adat dan resam. Begitu juga dengan peribahasa “jangan menyuruh kapak menyelam beliung” suatu bentuk larangan di dalam masyarakat Melayu untuk tidak memberikan kepercayaan kepada orang yang tidak setia.

Peribahasa sebagai suatu sumber budaya yang mencerminkan nilai yang dianggap penting oleh masyarakat Melayu meletakkan setiap sesuatu itu ada aturan dan tertibnya, manakala kesetiaan adalah syarat yang diyakini dapat melahirkan kepercayaan antara satu sama lain.

Tanpa kesetiaan hilanglah kepercayaan dan yang muncul daripada ketidaksetiaan adalah pengkhianatan.

Justeru, kesetiaan kepada Najib boleh difahami di dalam kerangka budaya politik Melayu seperti yang saya huraikan di atas. Psikologi budaya setia kepada ketua inilah yang mendasari tindakan Umno menggemakan naratif bebaskan Najib di dalam PAU baru-baru ini.

Namun persoalan selanjutnya adalah Najib bukan lagi ketua Umno. Kenapa perlu setia kepada Najib yang bukan lagi ketua? Ini memerlukan kita memahami pula dorongan atau motivasi yang menyebabkan penyokong, perwakilan dan kepimpinan Umno termasuklah presidennya sekarang, Zahid Hamidi turut mengangkat naratif bebaskan Najib di PAU.

Budi dan setia menjadi pendorong

Pada zahirnya Najib bukan lagi ketua yang rasmi di dalam Umno. Namun populariti Najib di kalangan anggota-anggota Umno khususnya di akar umbi melebihi populariti presiden rasmi Umno sekarang, Zahid.

Ketika Najib menjadi presiden Umno, kedudukan beliau sebagai ketua parti tidak pernah ditentang oleh sesiapa pun. Beliau melepaskan jawatan selaku presiden Umno selepas mengambil tanggungjawab di atas kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum 2018.

Justeru, tidaklah berlebihan untuk dikatakan Zahid menjadi presiden Umno atas ehsan pengunduran Najib secara sukarela. Sekali lagi dalam konteks ini budi sebagai sebahagian daripada budaya politik Melayu turut mempengaruhi psikologi pemainnya, di samping nilai kesetiaan yang didambakan daripada seseorang yang termakan budi.

Tambahan pula budi Najib kepada Umno masih dianggap besar di waktu Umno berada di kedudukan paling rendah.

Perlu diingat ketika Zahid mengambil cuti daripada jawatan presiden Umno lebih enam bulan (2018-2019) akibat desakan akar umbi setelah Umno kalah di dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), Najib kembali aktif membantu jentera Umno di dalam beberapa PRK yang selanjutnya. Daripada kekalahan Umno bangkit semula untuk meraih kemenangan di beberapa PRK.

Kemenangan Umno di PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai pada 2018 dan 2019, dikaitkan oleh ramai penganalisis kepada faktor Najib yang di waktu itu begitu popular dengan jenama “Bossku”.

Begitu juga dengan kemenangan Umno di PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022 turut dikaitkan dengan populariti Najib di kalangan pengundi Melayu.

Pada sebahagian besar anggota Umno, walaupun Najib terpenjara tetapi sumbangannya di dalam memberikan kemenangan kepada Umno di beberapa PRK dan dua PRN tersebut adalah budi yang tidak pernah dilupakan.

Najib masih dipercayai sebagai sosok utama yang boleh memastikan kemenangan Umno di masa hadapan berdasarkan populariti beliau di kalangan akar umbi Melayu dan oleh kerana itu ia perlu dibebaskan demi kelangsungan Umno sendiri.

Dalam konteks ini keyakinan sebahagian besar daripada anggota Umno khususnya di akar umbi terhadap sosok Najib, menyebabkan Zahid, turut perlu menggemakan naratif bebaskan Najib di PAU sebagai suatu cerminan beliau membawa suara akar umbi Umno.

Apatah lagi di kala populariti Zahid berada di tahap yang rendah di kalangan akar umbi Umno, maka beliau perlu bergantung sokongan kepada populariti Najib yang tinggi untuk terus kekal sebagai ketua.

Melawan suara akar umbi yang menuntut pembebasan Najib akan menyebabkan Zahid dilihat sebagai sosok yang bukan hanya tidak mengenang budi tetapi juga tidak setia kepada ketua yang telah memberi laluan kepada beliau untuk menjawat jawatan presiden dan membantu beliau di dalam kemenangan Umno di beberapa PRK dan dua PRN Negeri yang berlangsung sebelum ini.

Dalam konteks ini, Zahid tentunya tidak mahu dilihat mengkhianati Najib yang merupakan ketua de facto kepada Umno.

Justeru itu, naratif bebaskan Najib di PAU baru-baru ini pada hemat saya adalah suatu cerminan di tingkat budaya politik Melayu yang cenderung setia kepada ketua yang menabur budi yang kemudiannya mempengaruhi pula psikologi pemimpin serta penyokong akar umbi Umno di tingkat individu untuk bertindak menuntut pembebasan Najib.

Naratif bebaskan Najib itu tentunya akan mengundang satu lagi kerumitan di dalam hubungan antara Umno dan PH khususnya tatkala kedua-dua pihak sedang berhadapan dengan PRN15 yang akan dipertandingkan tak lama lagi.

Apakah natijah daripada naratif bebaskan Najib yang diangkat oleh Umno itu kepada PRN15 akan saya bahaskan di rencana yang akan datang. – 17 Jun, 2023.

* Rencana ini ditulis hasil perbincangan dengan penganalisis politik Mohd Azizi Jaeh.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen