PM ucap tahniah 2 sekolah kebangsaan disenarai pendek terbaik dunia


SK Kanchong Darat, Selangor, adalah satu daripada dua sekolah kebangsaan yang disenarai pendek dalam kelompok 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023. – Gambar Facebook, 16 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada dua buah sekolah Malaysia, yang disenarai pendek dalam kelompok 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 (World’s Best School Prizes 2023).

Dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Pulau Pinang, yang tersenarai dalam kategori Inovasi manakala SK Kanchong Darat, Selangor, tersenarai dalam kategori Gaya Hidup Sihat.

“Salut saya buat warga pendidik dan anak-anak atas pencapaian ini, semoga terus mengorak langkah mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya menerusi ciapan di Twitternya, hari ini.

Menurut laman sesawang World Best School Prizes yang dianjurkan T4 Education, platform yang berpangkalan di UK untuk pendidik dan sekolah, menawarkan lima hadiah bagi meraikan sekolah yang memberikan impak bersinigfikan kepada pelajar mereka, komuniti dan juga masyarakat.

Pemenang dari lima ketegori iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Gaya Hidup Sihat, akan menerima sebahagian daripada sumbangan bernilai AS$250,000 (kira-kira RM1.15 juta) untuk mengembangkan dan mempertingkatkan lagi projek pendidikan mereka.

Pengumuman tiga finalis terbaik untuk setiap kategori akan dibuat pada September manakala penyampaian hadiah dijadualkan Oktober.

Pada 2022 SK Kempadang, Pahang, tersenarai sebagai tiga sekolah terbaik dunia dalam kategori Inovasi, manakala SMK Kampong Jawa tersenarai 10 terbaik kategori Menangani Cabaran. – Bernama, 16 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen