Penduduk KL tidak setuju wujud semula Kementerian WP


Noel Achariam

PENDUDUK Kuala Lumpur menentang keras cadangan mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan (WP).

Mereka berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) yang menggantikan kementerian di bawah kerajaan perpaduan sudah cukup dalam mengurus wilayah itu.

Bagaimanapun, mereka berkata lebih banyak penjelasan diperlukan mengenai fungsi dan operasinya.

Pengerusi Save Kuala Lumpur M Ali berkata JWP sepatutnya mampu menjalankan tugas sepatutnya memandangkan ia berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Anda tidak perlukan seseorang (menteri) untuk mengurus (Wilayah Persekutuan). Prosedur dan proses sudah sedia ada (untuk JWP berfungsi) dan memberi arahan yang betul,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Apa yang dilakukan oleh Kementerian WP sebelum ini? Tiada keperluan untuk itu kerana ia berlebihan.”

Ali berkata parti politik tidak sepatutnya terlibat dan hanya perlu memberi tumpuan kepada berkhidmat kepada rakyat.

Pada mesyuarat agung tahunan Umno baru-baru ini, perwakilan Wilayah Persekutuan Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mencadangkan agar Kementerian FT dihidupkan semula.

Beliau berkata JWP gagal membawa hala tuju baharu sejak tujuh bulan lalu berikutan kuasa dan peruntukan yang terhad.

“Ditambah dengan kesibukan PM (Anwar Ibrahim), yang juga menteri kewangan dan menteri de facto WP, beliau tidak dapat menumpukan perhatian kepada isu di WP, serta dasar,” katanya.

Disember lalu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan JWP distruktur semula dan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

Kementerian WP kali terakhir diterajui oleh Shahidan Kassim, sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

Ali berkata sebelum ini, Kementerian WP mempunyai kuasa yang luas dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memberi laporan kepada menteri.

“Sebelum ini Datuk Bandar Kuala Lumpur hanya melaksanakan apa yang dikehendaki menteri,” katanya.

“Datuk bandar tidak sepatutnya bertanggungjawab kepada menteri WP kerana itu tidak akan memberinya kebebasan dan kelonggaran untuk menjalankan tugasnya.”

Beliau juga berkata datuk bandar dan ahli majlis perlu dipilih dan bertanggungjawab kepada penduduk Kuala Lumpur.

“Kita mesti ada pilihan raya majlis tempatan. Jadi jangan cakap nak hidupkan semula kementerian atau menteri WP. Kita tidak mahu itu,” katanya.

Ali berkata JWP mesti mula berfungsi.

“Ini adalah jabatan baharu. Jadi kita harus memberi mereka masa untuk menyesuaikan diri, sama seperti kerajaan perpaduan,” katanya.

“Jabatan akan memerlukan arahan yang jelas. Sudah tentu, pada peringkat awal ini, ia tidak akan membawa hasil segera.” – 16 Jun 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen