Sarawak setuju secara prinsip ambil alih MasWings


Desmond Davidson

Premier Sarawak Abang Johari Openg menyaksikan menandatangani kontrak antara Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Petronas di Kuching hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Jun, 2023.

SARAWAK bersetuju secara prinsip degan tawaran kerajaan persekutuan untuk mengambil alih syarikat penyedia perkhidmatan penerbangan luar bandar MasWings, kata Premier Abang Johari Openg.

“Kami setuju secara prinsip untuk ambil alih tetapi kami perlu melakukan kaedah penilaian terlebih dulu,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani kontrak antara Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Petronas di Kuching hari ini.

MasWings, salah satu unit dalam Malaysia Airlines Berhad (MAB), pada masa ini adalah penyedia perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah.

Abang Johari berkata pengambilalihan itu akan menjadi pangkalan untuk syarikat penerbangan butik yang dicadangkan kerajaan negeri.

“Kami sedang berunding.”

Beliau berkata kerajaan negeri sedang mendapatkan lebih banyak maklumat berkenaan cadangan kerajaan persekutuan itu.

MasWings, beroperasi dengan pesawat turboprop – ATR-72 buatan Perancis dan Twin Otters buatan Kanada – terhad untuk penerbangan di dua wilayah Borneo.

Abang Johari berkata beliau mahu tahu menerusi pengambilalihan itu adakah MasWings akan dibenarkan melakukan laluan serantau ke semenanjung dan negara Asia Tenggara lain.

“Pada masa ini MasWings tidak boleh terbang ke KL. Kami mahu ada laluan di luar Borneo, khususnya dalam Malaysia.”

Terdahulu, beliau mendedahkan syarikat penerbangan butik yang dicadangkan itu akan ke laluan Hong Kong, Seoul, Bangkok, Singapura dan Jakarta. – 15 Jun, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen