Sasaran penempatan 5,000 mesin layan diri IPR boleh dicapai, kata Rafizi


Selain mencari lokasi yang sesuai untuk menempatkan mesin layan diri di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat, kerajaan juga membiayai sewa bagi mesin tersebut untuk tempoh dua tahun pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun 2023.

KEMENTERIAN Ekonomi menjangka proses perolehan bagi baki 4,900 mesin layan diri yang disasarkan pada tahun ini di bawah program inisiatif pendapatan rakyat (IPR) akan selesai dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

Menterinya Rafizi Ramli berkata kementerian sekarang dalam proses pemilihan dan penilaian pemohon yang berkelayakan dan berkemampuan melalui proses perolehan terbuka yang sedang dilaksanakan.

“Tujuan kita juga adalah untuk memastikan kemudahan-kemudahan ini ada di tempat-tempat awam termasuk hospital. Selalunya permintaan kepada makanan siap berharga rendah ini paling tinggi adalah di tempat orang ramai seperti di kampus pengajian dan hospital.

“Kita ada lebih kurang 10,000 orang yang sedang menunggu mesin. Seratus mesin yang pertama telah melalui proses perolehan itu, dan akan diselesaikan dalam bulan ini,” kata beliau ketika ditemui selepas melawat tapak mesin layan diri IPR di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata kementerian sedang menjalankan proses pemilihan bagi perolehan 4,900 mesin layan diri yang seterusnya, bagi mencapai sasaran untuk meluluskan perolehan sebanyak 5,000 mesin layan diri di seluruh negara di bawah inisiatif tersebut.

“Proses (pemilihan pengedar) ini mengambil masa kerana kita melalui proses pemilihan secara terbuka di mana Kementerian Kewangan telah proses perolehan yang seterusnya, iaitu menjemput syarikat-syarikat yang berkemampuan untuk menyediakan 4,900 mesin tersebut.

“Dari segi tempoh, kita yakin mampu mencapai sasaran tahun ini,” katanya.

Rafizi turut berharap pemohon dapat bersabar kerana kerajaan sedang membuat penilaian yang teliti dari segi kemampuan dan lokasi sesuai untuk menempatkan mesin-mesin tersebut.

Menurutnya selain dari mencari lokasi yang sesuai untuk menempatkan mesin itu, kerajaan juga membiayai sewa bagi mesin tersebut untuk tempoh dua tahun pertama.

Katanya ia bertujuan bagi memastikan penerima inisiatif ini mendapat keuntungan bulanan yang stabil terlebih dahulu sebelum mereka perlu membayar kadar sewa bulanan mesin tersebut.

“Ia akan mengambil masa tetapi kita juga sedar bahawa negara perlu beralih daripada model lama di mana barisan hadapan kita banyak bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Bagi penetapan lokasi mesin layan diri, beliau berkata buat masa ini pihak kementerian menumpukan lokasi bangunan kerajaan dan tempat-tempat awam seluruh negara. – Bernama, 14 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen