Zahid diberi kebenaran khas lawat Najib, kata menteri


Ravin Palanisamy

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Nordin Muhamad.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2023.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi diberikan “kebenaran khas” untuk melawat bekas perdana menteri Najib Razak, yang menjalani hukuman di Penjara Kajang, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Nordin Muhamad, yang merupakan satu-satunya orang selain dirinya yang diberi kuasa untuk mengeluarkan kebenaran khas di bawah Bahagian 10, Peraturan 86, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

“Ketua pengarah Penjara beritahu saya, jadi saya tahu (lawatan Zahid). Prosedur seterusnya adalah olehnya.

“Perkara yang paling penting ialah saya telah dimaklumkan, dan saya tahu,” kata Saifuddin kepada pemberita, yang bertanya kepadanya mengenai lawatan Zahid.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, dalam ucapannya di perhimpunan agung Umno, mendedahkan beliau bertemu dengan Najib di Penjara Kajang, membawa makanan kegemaran bekas perdana menteri itu dan menghabiskan kira-kira dua jam bersama. 

Saifuddin turut menafikan dakwaan Zahid membawa peralatan elektronik semasa pertemuannya dengan Najib.

“Saya nak sebut bahawa dia bawa sama peranti elektronik itu tidak betul. Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin (sendiri) menyebut bahawa dia bawa (peranti elektronik) adalah tak betul.

“Siapa pun yang nak masuk (penjara), dia kena melalui pemeriksaan seperti biasa, tak kira pangkat,” katanya.

Ditanya mengenai tempoh lawatan yang hanya terhad kepada 45 minit, Saifuddin berkata ia bergantung kepada budi bicara pegawai penjara yang bertugas ketika itu.

“Soal masa 30 ke 40 minit atau 45 minit, kadang-kadang pertemuan itu dengan kehadiran pegawai penjara. Pegawai penjara adalah pihak autoriti untuk membuat keputusan pada ketika itu.

“Saya dulu pun pernah melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh. Kadang-kadang pernah dapat (melawat) 15 minit, kadang-kadang dapat 30 minit. Jarang-jarang saya dapat (melawat selama) 45 minit. Ia bergantung budi bicara pegawai masa itu,” katanya. – 14 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen