Kerajaan komited pastikan kebajikan bekas atlet terbela, kata KBS


Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata kerajaan komited untuk menjaga kebajikan bekas atlet termasuk yang kurang upaya menerusi YAKEB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun 2023.

PUTRAJAYA komited untuk menjaga kebajikan bekas atlet termasuk yang kurang upaya menerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

YAKEB ditubuhkan pada 25 Julai 2007 dan dikhususkan untuk membantu hal ehwal atlet yang telah bersara, katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Di awal penubuhannya seramai 150 bekas atlet telah mendaftarkan keahlian dan kini jumlahnya meningkat kepada hampir 3,000 orang.

“Matlamat utama penubuhan YAKEB adalah untuk menjadi platform kepada bekas atlet mendapatkan bantuan pembiayaan rawatan perubatan, bantuan peralatan sokongan kesihatan dan musibah bencana alam, khairat kematian, bantuan kewangan bulanan dan juga bantuan berkaitan pendidikan,” jelas ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Adam Adli menjawab soalan Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) tentang usaha KBS untuk menjaga kebajikan atlet veteran yang telah mengharumkan nama negara, terutamanya atlet paralimpik.

Tambah beliau, pihak YAKEB juga menganjurkan seminar dan kursus yang mampu membina kerjaya atlet veteran dan atlet kurang upaya bagi memastikan mereka mampu berdikari.

“Dalam usaha ini YAKEB telah mengadakan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak bagi membantu bekas atlet.

“Pada 24 hingga 28 Julai 2023, YAKEB dengan kerjasama Institut Sukan Negara akan menganjurkan Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Peringkat 2 untuk bekas atlet mengembangkan kerjaya mereka sebagai jurulatih.

“Kursus ini akan disertai oleh 70 bekas atlet, dan 15 daripada mereka adalah dalam kalangan bekas atlet OKU,” kata Adam Adli.

Selain itu, YAKEB turut menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Hasanah untuk menganjurkan pelbagai kursus kemahiran dan keusahawanan.

“Supaya mereka bersedia sama ada untuk memasuki pasaran kerja atau memulakan perniagaan sendiri.”

Kursus ini katanya telah memasuki siri ketiga tahun ini dan penganjuran terdekat akan disertai lebih 200 bekas atlet dari seluruh negara dan 30 daripada mereka adalah bekas atlet kurang upaya. – 14 Jun 2023.
 
Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen