Majikan, ahli akademik gesa lebih banyak kajian sebelum pendekkan pengajian di IPT


Alfian Z.M. Tahir

LEBIH banyak kajian diperlukan sebelum Kementerian Pengajian Tinggi memendekkan tempoh pengajian bagi program di universiti daripada empat kepada tiga tahun, kata kumpulan majikan dan ahli akademik.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberitahu The Malaysian Insight, walaupun idea itu mempunyai niat murni, kajian menyeluruh diperlukan untuk mengelakkan ketidakpadanan daripada berlaku.

Ahli akademik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata dengan memendekkan tempoh pengajian, sukar bagi graduan berdepan keadaan di tempat kerja.

“Jika universiti memendekkan tempoh pengajian, adakah ia akan memberi manfaat kepada graduan apabila mereka memasuki dunia sebenar? Bolehkah mereka memenuhi tuntutan di tempat kerja?

“Mereka perlu mengkaji perkara ini dengan lebih terperinci. Sudah tentu anda boleh memendekkan kursus tetapi adakah mereka akan memahami segala-galanya dalam tempoh itu ketika di universiti?

“Ramai graduan baharu perlu memilih (kerja) yang mereka tidak belajar. Terdapat banyak ketidakpadanan dalam pasaran,” kata Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin.

Tambahnya, jika kerajaan ingin memendekkan tempoh pengajian, mereka perlu memanjangkan tempoh latihan praktikal.

Beliau berkata ini akan membolehkan graduan belajar dengan cepat dalam dunia sebenar.

“Sekiranya anda memendekkan kursus dan tiada program latihan praktikal, ia akan menjadi kerugian bagi pelajar. Sekiranya anda ingin memendekkan kursus, program latihan hendaklah sekurang-kurangnya setahun.

“Sekurang-kurangnya sebaik sahaja mereka tamat pengajian, mereka sudah mempunyai pengalaman kerja selama 12 bulan, persekitaran kerja dan skop kerja,” tambahnya.

Kamarul berkata kementerian perlu mengadakan hubungan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan jika mereka ingin meneruskan idea itu.

“Mereka sepatutnya mendapatkan maklum balas daripada kami. Jika kita boleh berkongsi sedikit pengetahuan tentang cara menambah baik rancangan ini, ia bagus untuk negara,” katanya.

Minggu lepas, Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata universiti awam bersedia untuk memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan fleksibel untuk pelajar tahun ini.

Beliau berkata pelajar yang mendaftar dalam sistem itu hanya akan menghadiri kuliah pada tahun pertama dan akhir mereka.

Dilaporkan 19 universiti awam bersedia menawarkan program pengajian ijazah pertama yang fleksibel untuk sesi akademik 2023/2024.

Khaled berkata tempoh pengajian bagi 44 program di sembilan universiti akan dipendekkan daripada empat kepada tiga tahun.

Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata majikan dan pekerja boleh mendapat manfaat selagi silibus universiti menawarkan proses pembelajaran yang komprehensif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2023.

Pelajar perlu masa sesuaikan diri

Bagaimanapun, Mazlan berkata tempoh pengajian yang lebih singkat mungkin menyukarkan pelajar berkomunikasi dengan lebih baik di tempat kerja kerana mereka tidak mempunyai masa meningkatkan kemahiran sosial.

Berdasarkan pengalamannya, Mazlan berkata kelas hibrid yang menyasikan pelajar mengikuti kelas secara dalam talian, kecenderungan tidak dapat berkomunikasi adalah lebih tinggi berbanding pelajar yang menamatkan kursus pengajian sepenuh masa.

“Pelajar akan dibebani dengan jadual yang padat kerana mereka perlu menamatkan pengajian dengan lebih cepat, berbanding yang belajar selama empat tahun.

“Bagi kelas hibrid, pelajar yang tiada sambungan internet akan ketinggalan. Keluarga B40 dan mereka yang berada di luar bandar akan menghadapi kesukaran.

“Idea memendekkan tempoh pengajian memerlukan lebih banyak kajian dan penglibatan.

“Satu lagi kebimbangan ialah dengan tempoh pengajian lebih singkat pelajar tidak akan mempunyai masa mencukupi untuk meningkatkan kemahiran sosial mereka kerana tidak mengikuti kelas, program universiti, program kampus dan banyak lagi aktiviti.

“Apabila mereka masuk ke dunia pekerjaan, mereka akan mendapati sukar untuk menyesuaikan diri,” kata ahli akademik itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bank Malaysia (NUBE) J Solomon berkata majikan dan pekerja boleh mendapat manfaat selagi silibus universiti menawarkan proses pembelajaran yang komprehensif.

Beliau berkata kursus jangka panjang atau pendek tidak akan membawa perubahan dalam pasaran kerja.

“Kemahiran sosial boleh dipelajari semasa bekerja. Ia mesti diajar oleh majikan melalui pendidikan yang berkaitan dan latihan komprehensif semasa bekerja.

“Kekurangan kecemerlangan akademik atau kemahiran sosial sentiasa menjadi sebab majikan membayar gaji rendah kepada pekerja tetapi dengan sukatan pelajaran yang komprehensif, ia boleh diatasi,” kata Solomon. – 14 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen