WALAUPUN Dr Mahathir Mohamad berjaya menarik ribuan hadirin di setiap ceramahnya di kawasan Felda, masih ada lagi kesangsian sama ada beliau dan Pakatan Harapan (PH) akan turut menarik sokongan keluarga besar golongan peneroka ini.

Malam tadi, pada ceramah PH di Dataran Sungai Tengi, kira-kira 1,000 orang yang mahu mengikuti ucapan pengerusi gabungan parti tersebut.
Kebanyakan aktivis parti memenuhi bahagian hadapan dan tengah, menghadap pemimpin utama mereka itu, termasuk Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Rata-rata golongan peneroka pula mengambil tempat duduk dan berdiri di pinggir tapak ceramah, di Dataran Sungai Tengi.
Ketika didekati The Malaysian Insight, beberapa orang peneroka yang hadir ke ceramah itu mengakui yang kumpulan peneroka di sini sememangnya penyokong kuat Barisan Nasional (BN).
Menurut peneroka ini, golongan generasi kedua sudah mula memesrai pembangkang, namun peneroka yang bekerja di Kampung Sungai Tengi masih rata-rata setia dengan BN.
Salah seorang daripadanya, Rusdin Junid berkata golongan peneroka generasi pertama masih menyokong BN kerana terhutang budi atas segala kemudahan yang dinikmati.
“Orang sini memang kuat BN. Pukul pun tak tumbang. Generasi pertama memang sokong BN kerana kenang budi. Tempat ini daripada tak ada jalan, (sekarang) ada jalan, daripada tak ada dewan, sekarang ada dewan.
“Generasi kedua, yang duduk di kampung sokong BN. Yang keluar bekerja di luar kadang-kadang terikut dengan pembangkang. Tapi di Felda sini ramai generasi kedua masih duduk kampung kerana kerja banyak di sini,” kata Rusdin yang ditemui selepas ceramah itu berakhir.
Beliau berkata walaupun masih ramai menghormati Dr Mahathir, mereka curiga dengan niat pengerusi PH itu yang mahu menjadi perdana menteri (PM) sekali lagi selepas menerajui negara dari 1981 hingga 2003.
“Dr Mahathir ini memang kita hormat pada dia. Idea dia, sumbangan dia kepada negara. Tapi kita masih sangsi pada dia, kenapa dia nak jadi PM lagi?
“Kita takut kalau dia jadi PM lagi, sekejap sahaja, selepas itu bagi dekat orang lain. Itu yang kita takut. Kita masih sangsi dengan niat dia,” kata beliau.
Rakannya, Azmi Ramli pula memberi komen mengenai isi ceramah itu yang rata-rata berkata penduduk di Felda susah dan menderita kerana kezaliman BN.
Beliau berkata kebanyakan peneroka atau keluarga mereka hidup dengan baik, dengan syarat berusaha seperti orang lain.
“Saya rasa siapa-siapa (yang) ambil alih Felda pun sama saja. Tak lagi susah, tidak lagi senang. Kalau orang kata di Felda ini susah, itu cakap bohong. Sebab atas usaha kita sendiri kalau hendak susah atau senang.
“Di sini kalau kita usaha betul-betul boleh dapat RM3,000 ke RM4,000 sebulan. Tapi kena rajin lah. Orang di sini RM7,000 sebulan pun boleh dapat,” kata beliau.
Bagaimanapun ada juga yang sanggup membawa keluarga besar mereka untuk mendengar sendiri apa yang mahu dikatakan oleh Dr Mahathir dan pemimpin PH lain.
Naufal Abdul Rahim, seorang anak peneroka yang kini menjalankan perniagaan sendiri hadir ke ceramah tersebut bersama enam ahli keluarganya.
Tegasnya, beliau membawa saudaranya itu untuk mengubah pendirian mereka.
“Saya memang dah sokong PH. Ini saya bawa keluarga, ayah saudara. Untuk dengar sendiri ceramah Tun.
“Memang (saya) rasa (di Felda ada) masalah. Saya rasa semua orang rasa (begitu) cuma (mereka) takut lah (untuk sokong PH). Selagi harga sawit tak tinggi memang ramai akan rasa susah,” kata beliau.
Seorang lagi warga peneroka, Fadzli Abu Bakar pula berkata ramai orang Felda sendiri mengakui perlunya perubahan dalam pentadbiran institusi berkenaan.
Beliau turut berkata isu usia Dr Mahathir langsung tidak menghalang beliau daripada menerajui negara seperti yang dikatakan PM sekarang, Najib Razak.
“Saya tidak fikir umur mainkan faktor, kerana saya tengok dia ini masih kuat dan sihat dan mampu beri ceramah panjang macam malam ni.
“Berbeza (dengan) zaman Najib sekarang. Dari apa mereka (PH) cakap, kita ada banyak hutang dan saya fikir orang Felda setuju kita perlu perubahan pentadbiran,” kata beliau yang mengakui terpaksa menjual burger secara sambilan untuk menampung kenaikan kos hidup.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, calon BN P Kamalanathan mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 3,414 undi.
Timbalan menteri tersebut pada mulanya memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil pada 2010, dengan menewaskan calon PKR, bekas menteri Zaid Ibraim dengan majoriti tipis, 1,725 undi.
Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya sebelum itu, Zainal Abidin Ahmad yang memenanginya pada 2008 dengan majoriti amat kecil, 198 undi.
Kawasan Felda Sungai Tengi termasuk dalam kawasan DUN Hulu Bernam yang dikuasai BN dengan majoriti 3,032 undi pada 2013. – 24 Mac, 2018.
Komen