BERHENTI memutarbelitkan fakta berhubung isu berkaitan kalimah “Allah”, terutama jika ia hanya untuk menipu rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang-PN), yag mencelah sebelum sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkafperi mempersoalkan mengapa usulnya bagi merujuk Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, ditolak Speaker Dewan Rakyat.
“Apa yang bertentangan (dimaksudkan Zulkafperi) ini? Nak putar belit, nak tipu rakyat ini sebab apa, Nak dapat keuntungan politik? Jangan dengan menipu,” kata Anwar.
Dalam usul mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12) itu, Zulkafperi mendakwa Anwar membuat kenyataan mengelirukan Dewan pada 23 Mei lalu apabila memaklumkan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah di mahkamah, sudah dirujuk pada Majlis Raja-Raja (MRR).
Zulkafperi mendakwa kenyataan Anwar mengelirukan Dewan Rakyat kerana bertentangan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 7 Jun lalu mencadangkan isu berkenaan dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos depan sebelum diangkat kepada MRR, Oktober ini.
Mengulas dakwaan itu, Anwar mengulangi kenyataannya keputusan kerajaan menarik balik rayuan sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebanyak dua kali.
“Memang dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong. Pertama kali ketika perjumpaan sehari sebelum itu (mesyuarat Kabinet) dan kemudian pada 7 Februari lalu di hadapan jemaah menteri dalam mesyuarat jemaah menteri, saya menelefon Yang di-Pertuan Agong tentang keputusan baharu, iaitu nak merujuk kepada MRR dlm soal pindaan (peraturan),” katanya.
Pada 15 Mei, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan menarik balik permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan empat kalimah Arab dalam penerbitan keagamaan mereka untuk tujuan pendidikan.
Anwar berkata dalam pertemuannya dengan Sultan Selangor, baginda berpendapat usaha untuk meminda peraturan berhubung penggunaan kalimah Allah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu diteliti di MKI dan dipertimbang dalam MRR.
“Saya bersetuju dengan pandangan Tuanku. Baginda sebut tidak difikirkan ada masalah sama sekali kerana keputusan itu akan memperakui keputusan MRR yang terdahulu dan diperkemaskan supaya tiada kekeliruan serta mempermudah tindakan badan penguatkuasaan,” katanya. – 13 Jun, 2023.
Komen