PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau sanggup untuk “flip-flop” terhadap sebarang keputusan kerajaan asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Jika ada keperluan untuk flip-flop keputusan kerajaan supaya ia akan dapat membantu rakyat, maka saya akan flip-flop.
“Apa alasan untuk tidak berbuat demikian jika anda tahu ia akan membebankan rakyat,” kata ahli Parlimen Tambun itu di Dewan Rakyat hari ini pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang-PN), yang bertanya mengapa perdana menteri membuat pusingan-U terhadap keputusan dibuat berhubung subsidi ayam dan telur, serta biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Anwar berkata beliau membuat keputusan balas terhadap apa yang diputuskan pentadbiran terdahulu.
“Isu biasiswa JPA keputusan lama dan perlu disemak semula dan dihentikan. Ada rekod dan saya hadir mesyuarat JPA itu. Jadi, apa yang diumumkan adalah keputusan lama.
“Ketika saya pengerusikan mesyuarat JPA itu, saya putuskan untuk teruskan biasiswa.
“Sama juga isu subsidi ayam dan telur. Keputusan terdahulu sepatutnya berakhir pada Jun.
“Ketika Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan merujuk perkara itu kepada menteri kewangan dan perdana menteri, saya berasakan ia akan membebankan rakyat dan Hari Raya Haji akan tiba tidak lama lagi. Jadi, saya putuskan untuk teruskan subsidi itu.
“Keputusan itu bukan flip-flop. Ia hanya semakan semula bagi keputusan lama dibuat pentadbiran terdahulu,” katanya yang juga menteri kewangan. – 13 Jun, 2023.
Komen