AGAK sukar untuk mengetahui jika seseorang itu sedang mengalami masalah ketika berada di dalam air.
Di Jerman, sebuah kolam renang sedang menguji sistem pemantauan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyelamatkan nyawa perenang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ujian itu dibuat di kolam renang dalaman (indoor) dan luar di pusat renang Kleinfeldchen di bandar barat Wiesbaden yang mula menggunakan sistem baharu pada Ogos 2020.
Dicipta oleh syarikat pemula Israel, mekanisme AI mempunyai empat kamera membentuk monitor yang dipasang pada siling di atas kolam indoor yang berukuran 25m x 15 m.
“Kamera mengesan pergerakan di dalam air dan merekodkan profil pergerakan yang dianalisis menggunakan AI,” kata Thomas Baum, pengurus operasi di Mattiaqua, pengendali kolam renang wilayah.
Baum berkata selepas tamat fasa ujian dan pembelajaran itu, sistem itu akan digunakan di kolam dan mandian lain di Wiesbaden.
Kos pelaksanaannya pula berbeza-beza bergantung pada saiz kolam dan bilangan kamera, tetapi untuk kumpulan semasa, kosnya adalah sekitar AS$32,000 hingga AS$42,000 setiap tahun, katanya.
Bagaimanapun, AI tidak bertujuan untuk menggantikan kakitangan atau perkhidmatan menyelamat air, tetapi ia membantu sebagai perlindungan untuk kakitangan dan perenang.
“Jika ia berfungsi sekali sahaja dalam sepuluh tahun dan menyelamatkan nyawa seseorang, maka setiap sen yang dilaburkan akan berbaloi,” kata Baum.
Sementara itu, seorang pembantu kolam yang biasa mengendalikan sistem itu dari awal, Shahabeddin Khatibi, berkata jika corak tersebut tidak dianggap biasa, sistem akan memaklumkan kakitangan di kolam itu melalui jam tangan pintar mereka.
Jam itu akan mengeluarkan bunyi bip yang kuat dan bergetar dan paparan jam tangan juga akan menunjukkan titik merah untuk menunjukkan kedudukan tepat orang yang menghadapi masalah, bersama-sama dengan tiga gambar.
“Dari masa ke masa, kecerdasan buatan telah mengetahui pergerakan mana yang normal untuk perenang dan apabila seseorang menghadapi masalah,” kata Khatibi yang melaporkan kembali kepada sistem pada setiap penggera untuk membantunya mengetahui sama ada ia telah menilai situasi dengan betul. – Bernama, 13 Jun 2023.
Komen