PADA peringkat awal perancangannya, Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) menimbulkan kebimbangan besar di kalangan warga Pengerang.
Namun projek Petronas bernilai RM60 bilion itu tetap berjalan dengan meliputi 9,000 hektar tanah dan melibatkan 15 kawasan perkampungan tradisi.
Pekan kecil itu kini berubah wajah. Jalan dua lorong yang kecil di tengah-tengah pekan kini sesak dengan pelbagai jenis kenderaan yang tidak putus-putus.
Industri makanan dan minuman tumbuh ibarat cendawan selepas hujan, dan kaunter pengeluaran wang di bank pula sentiasa dipenuhi pelanggan.
Selain penyediaan makanan, kalangan warga Pengerang juga mendapat hasil lumayan daripada perniagaan penyediaan pakaian dan tempat tinggal kepada para pekerja Rapid.
Malah, ada warga pengerang yang dapat menyewakan rumah pada kadar sehingga RM5,000 sebulan dan juga menyewa bilik dengan harga sehingga RM800 sebulan.
Namun, tidak semua yang melihatnya sebagai rahmat kerana pembangunan berkenaan menyebabkan kos harga barang dan makanan melambung.
“Itu adalah harga sebuah pembangunan,” kata Bachok Mantek, 61, seorang penduduk asal di Kampung Sungai Rengit yang pernah bekerja sebagai buruh.
Bachok berkata, rata-rata penduduk tempatan sepertinya tidak merasai nikmat langsung hasil pembangunan Rapid tetapi terpaksa menanggung peningkatan harga barangan.
“Saya terkesan bila harga barang di sini naik mendadak… Semuanya sebab pendatang asing penuh,” kata Bachok lagi ketika ditemui The Malaysian Insight.
Beliau menganggarkan, keadaan itu menjejaskan kira-kira separuh penduduk kampung tadisi berkenaan.

“Kalau orang muda bolehlah minta kerja dekat Rapid. Macam kami dah berumur, nak buat apa? Saya boleh katalah, separuh hati rakyat tempatan bengkak dengan kos naik dan sebagainya,” katanya.
Isu kenaikan harga barang itu merupakan antara isu gabungan parti Pakatan Harapan (PH) yang cuba menyusup ke kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.
Pengerang merupakan salah satu daripada kawasan sasaran PH, yang akan ditandingi calon dari parti Bersatu. Tiga lagi kerusi yang diintai Bersatu ialah Pagoh, Sri Gading dan Mersing.
Ketika projek ini mula dirancang pada 2012, antara perkara utama yang menjadi bantahan ke atas projek Petronas ini adalah isu pengambilan tanah secara secara besar-besaran di kawasan kampung tradisi nelayan ini.
Warga tempatan itu juga tidak berpuas hati kerana tidak dilibatkan dalam rundingan dan turut bimbang jika projek berkenaan akan menjejaskan sumber alam dan pendapatan mereka.
Bantahan ke atas projek berkenaan dinyatakan melalui demonstrasi Himpunan Hijau Lestari Pengerang bersama gabungan pembangkang waktu itu, Pakatan Rakyat tidak lama sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Namun, ahli Parlimen kawasan tersebut, Azalina Othman Said tetap menang dalam pilihan raya 2013 dengan 26,992 undi, menewaskan calon PKR, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid (4,484 undi), dan calon Bebas, Mohd Azman Johari (795 undi).
Bachok pula berkata, walau separuh daripada kalangan warga asal Pengerang marah dengan kenaikan harga barang, golongan sepertinya tetap memilih BN dalam pilihan raya umum akan datang.
“Tetapi apa boleh buat, kita masih akan pangkah dacing lagi,” katanya, merujuk kepada logo BN.
Azalina yang turut menang tanpa bertanding di kerusi itu pada 2004 dan 2008 menjangka, kemajuan yang dikecap oleh warga tempatan itu akan memberi kelebihan kepadanya dalam PRU14.
“Bagi penduduk mereka kena rajin berniaga,” kata Azalina yang menyeru warga berkenaan untuk memanfaatkan limpahan daripada projek Rapid.
Katanya, selain projek Rapid, warga Pengerang juga boleh mendapat manfaat dari Taman Tema Air Desaru yang terletak di bandar Penawar, di Kota Tinggi.
“Saya harap kalau rakyat Desaru hendak pilih wakil rakyat DUN dan Parlimen pilihlah yang akan majukan kawasan itu lebih.
“Kalau nak pilih pembangkang bagi saya perhabis beras (sahaja). Apa pembangkang boleh buat dengan arus pembangunan yang sedang pesat akan berlaku?” soalnya. – 24 Mac, 2018.
Komen