SEKALIPUN pelancongan domestik kembali seperti tempoh prapandemik, industri hotel bajet masih belum pulih, kata Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA).
Presidennya Dr Sri Ganesh Michiel berkata, mereka masih belum melihat sebarang bentuk pemulihan pada masa ini.
Beliau berkata bagi mempercepatkan pemulihan, pihak berkuasa perlu memberi rangsangan dengan mengawal selia agensi pelancongan dalam talian (OTA) serta penginapan sewa jangka pendek (STRA).
“Memang ada yang menginap, tetapi tiada keuntungan. Ini kerana platform dalam talian mengenakan kadar rendah untuk bayaran bilik.
“Jadi, apabila tiada untung, hotel sukar untuk membeli kain linen baharu selain menaik taraf kemudahan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata, mereka amat memerlukan satu peraturan mengenai berapa peratus yang mereka (agensi pelancongan dalam talian) boleh kenakan bayaran.
“Kita perlu membuat peraturan dan membincangkan isu itu dengan semua pihak berkepentingan dan mendapatkan peratusan tetap. Mungkin 5% atau 10%. Tidak seperti sekarang yang boleh naik sehingga 45%. Kita juga perlu mengawal harga mengikut pasaran semasa dan ekonomi.
“Contohnya, jika kami mengenakan bayaran RM100 semalam, tetapi platform OTA boleh menurunkannya kepada RM50. Tidak semua daripada kami berada di platform dalam talian dan ini menjejaskan tempahan.”
Beliau berkata ia satu langkah yang amat baik apabila Pulau Pinang memutuskan untuk mengawal selia STRA, tetapi negeri lain masih belum melakukannya.
STRA adalah perniagaan yang tidak mempunyai undang-undang atau peraturan untuk mengawal selia perniagaan dan perniagaan tidak berlesen adalah perniagaan yang menyalahi undang-undang.
Antara operasi yang termasuk dalam takrifan STRA adalah Airbnb, platform dalam talian untuk pemilik rumah persendirian menyewakan harta mereka bagi penginapan jangka pendek dan inap desa.

Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang muncul kerajaan negeri pertama mengambil inisiatif tegas dalam memastikan perniagaan STRA dikawal selia.
“Kami memerlukan peraturan STRA ini di seluruh negara.
“Jika ia tidak diselesaikan, industri tidak akan pulih. Kerana hotel bajet dan perniagaan tidak mampu bertahan.”
Persatuan itu mempunyai kira-kira 2,700 ahli dengan kira-kira 5,000 hotel bajet di seluruh negara.
Beliau juga berkata tenaga kerja tidak mencukupi dalam industri mereka.
“Kami memberi keutamaan kepada penduduk tempatan, tetapi jika kami tidak dapat mereka, maka kami memerlukan pekerja asing.”
Beliau menegaskan secara perlahan-lahan tempahan dari luar negara mula diterima.
Ganesh berharap kerajaan dapat menyediakan beberapa jenis geran untuk membantu hotel bajet.
“Kami juga berharap bank dapat memberikan bantuan kewangan untuk hotel bajet. Pada masa ini mereka sukar memberikan pinjaman kerana ia perniagaan yang berisiko untuk mereka.
“Perniagaan masih tidak berubah sehingga kerajaan menyelesaikan ancaman industri.” – 12 Jun, 2023.
Komen