MMA gesa MP sokong RUU Merokok dan Kawalan Tembakau


Alfian Z.M. Tahir

Dr Zaliha berkata RUU itu akan mengawal selia pembuatan semua produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape yang mengandungi gel dan nikotin cecair.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2023.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) sekali lagi menyeru semua ahli Parlimen supaya mengutamakan kesihatan rakyat Malaysia dengan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Merokok dan Tembakau yang akan dibentangkan di Parlimen, esok.

Presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai berkata kelulusan RUU itu akan menjadi langkah penting untuk mengurangkan beban Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang tinggi di Malaysia.

“NCD adalah punca utama kematian dan hilang upaya di Malaysia di mana sejumlah besar kes berpunca daripada penggunaan tembakau, namun kini kita berpeluang untuk mengambil langkah pencegahan yang lebih bermakna melalui RUU Kawalan Merokok dan Tembakau.

“Menghisap rokok menyebabkan pelbagai jenis kanser, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, kencing manis dan penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD) yang merangkumi emfisema dan bronkitis kronik manakala vape boleh mengakibatkan ‘E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) yang merupakan penyakit yang membawa maut,” kata Muruga.

Pada April, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementeriannya akan membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen pada Jun untuk memastikan kawalan menyeluruh ke atas produk yang mengandungi nikotin.

Beliau menambah RUU itu akan mengawal selia pembuatan semua produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape yang mengandungi gel dan nikotin cecair.

Sementara itu, Muruga berkata Pelan Strategik Kebangsaan Malaysia mengenai Kawalan Tembakau 2015-2020 (NSPTC) mempunyai sasaran jangka sederhana untuk mengurangkan kelaziman merokok kepada 15 peratus menjelang 2025 serta sasaran akhir permainan kurang daripada 5% kelaziman merokok menjelang 2045.

Untuk mencapai sasaran ini, negara memerlukan pengubah keadaan seperti GEG, tegasnya.

Beliau kemudian menjelaskan RUU Kawalan Merokok dan Tembakau bukan sahaja akan menyelamatkan nyawa malah negara akan menjimatkan berbilion ringgit dalam kos rawatan penjagaan kesihatan yang sebaliknya boleh digunakan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan penjagaan kesihatan untuk rakyat.

“Kos penjagaan kesihatan tahunan bagi penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser di Malaysia melebihi RM 9.65 bilion.

“Penggunaan tembakau merupakan punca utama kanser menyumbang kepada 22 peratus kematian akibat kanser manakala anggaran kos untuk merawat kanser paru-paru akibat merokok ialah RM132.7 juta.

“Perlu diingatkan juga sehingga 34 peratus pesakit serangan jantung adalah perokok aktif,” katanya. – 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen