Annuar Musa sah ahli PAS


PAS mengesahkan bekas menteri Kabinet, Annuar Musa kini menjadi ahli sah parti Islam itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2023.

PRESIDEN badan bukan kerajaan Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa sah menjadi ahli PAS, kata setiausaha agung parti Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata PAS menerima keahlian bekas ahli Parlimen Ketereh itu bersama 3,000 ahli baharu hari ini.

“Saya ingin memaklumkan Annuar Musa diterima menjadi ahli PAS… dengan 3,000 keahlian baharu hari ini.

“Ramai memohon masuk dalam PAS, Bersatu… (selepas ini) tokoh masyarakat lain yang diterima masuk ke parti ini akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Seremban, malam ini.

Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi turut menyerahkan sijil keahlian kepada Annuar.

Sementara itu, Annuar berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kepimpinan tinggi parti PAS dan PN yang menerima keahliannya itu.

“Saya bersyukur pada malam ini saya dapat bersama dengan semua (penyokong PN) pada hari bersejarah bagi diri saya, (keputusan ini) tidak dipengaruhi oleh sesiapa,” katanya. – Bernama, 10 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen